KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan 16 notis kompaun terhadap lima kontraktor pembinaan yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Tindakan berkenaan dijalankan dalam Operasi Korekan Jalan Awam Siri 1/2026 di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
DBKL dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) melaksanakan operasi di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur melibatkan kawasan Jalan Kuchai Maju, Jalan Klang Lama, Jalan Puchong, Jalan Desa, Jalan Bangsar.
Operasi turut dijalankan di Persiaran Sultan Salahuddin dan Jalan Maharajalela bermula pukul 10 malam, Jumaat 16 Januari lalu dan berakhir 3 pagi Sabtu 17 Januari lalu,” katanya dalam kenyataan,
Pemantauan dan pemeriksaan dilaksanakan bagi menilai kerja-kerja pembaikan serta penyelenggaraan jalan awam termasuk pemasangan paip, penurapan jalan, pembaikan saluran longkang serta kerja utiliti melibatkan bekalan air, elektrik dan telekomunikasi.
“Hasil pemeriksaan di tujuh lokasi mendapati kontraktor terbabit tidak menyediakan lampu amaran berkelip (blinker), tiada pengawal lalu lintas, merosakkan siar kaki, menutup laluan jalan tanpa kebenaran, lori tanpa permit mengangkut bahan binaan serta menyebabkan jalan awam kotor.
“Daripada jumlah itu, empat notis kompaun dikeluarkan mengikut Undang-Undang Kecil Pengangkutan Bahan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1997, manakala 12 notis lagi di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974,” jelas kenyataan yang sama.
Sementara itu, CIDB turut mengeluarkan dua notis arahan hadir bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung kerja pembinaan yang dijalankan tanpa kebenaran serta kelulusan.
DBKL menegaskan, tindakan penguatkuasaan dan pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta pematuhan peraturan oleh kontraktor.
Orang awam yang mempunyai aduan atau maklum balas berkaitan kerja korekan jalan awam boleh menyalurkannya melalui saluran rasmi DBKL. – MalaysiaGazette















