KUALA LUMPUR – Sebarang bentuk perpaduan politik perlu berteraskan nilai, integriti dan mandat rakyat serta tidak boleh menjejaskan kestabilan Kerajaan Perpaduan.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa memaklumkan, pihaknya mengambil maklum cadangan ‘Kolaborasi Agung’ serta visi UMNO sebagai ‘Rumah Bangsa’ yang dibentangkan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 baru-baru ini.
Beliau berkata, Amanah sentiasa terbuka terhadap usaha memartabatkan perpaduan ummah namun menolak keras sebarang kerjasama yang berlaku dalam vakum nilai atau melanggar garis merah yang ditetapkan parti itu.
“Prinsip pertama yang menjadi teras pendirian AMANAH ialah kompas RAHMAH, iaitu perpaduan yang bersifat inklusif dan menolak assabiyah atau perkauman sempit.
“Kekuatan kepimpinan Melayu seharusnya berperanan melindungi semua rakyat Malaysia selari dengan prinsip Rahmatan lil ‘Alamin,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini.
Mujahid menegaskan, Amanah tidak akan berkompromi dalam soal integriti dan tata kelola termasuk menolak sebarang kerjasama yang berfungsi sebagai ‘perisai’ untuk melindungi individu daripada tindakan undang-undang atau menutup isu salah guna kuasa.
“Sebarang usaha penyatuan juga tidak boleh dijadikan jalan belakang atau langkah ‘tebuk atap’ bagi menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan. Mandat rakyat wajib dihormati dan tidak boleh diperdagangkan atas kepentingan politik sempit,” ujarnya.
Mujahid menambah, rakyat hari ini menuntut hasil yang substantif merangkumi penyelesaian isu ekonomi, sosial dan pendidikan, bukannya sekadar konsolidasi kuasa dalam kalangan elit politik Melayu.
Sehubungan itu, beliau berkata, Amanah percaya penyatuan bangsa yang sebenar hanya dapat dicapai dengan membuktikan bahawa kepimpinan Melayu ialah kepimpinan qudwah iaitu contoh terbaik yang adil, amanah dan membawa kesejahteraan kepada semua lapisan masyarakat. – MalaysiaGazette
















