Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Masa depan pendidikan negara tidak wajar ditentukan oleh nostalgia sistem lama tetapi keberanian melakukan pembaharuan berasaskan hikmah, data dan nilai kemanusiaan.

Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah) berpandangan bahawa fokus utama pendidikan negara perlu kekal kepada pembinaan insan dan tamadun, bukan kembali kepada pendekatan lama tanpa penilaian mendalam.

Justeru katanya, keputusan berkaitan UPSR & PT3 mesti mencerminkan komitmen negara terhadap pendidikan yang adil, seimbang dan berteraskan insan.

“Pendidikan yang benar bukan sekadar menguji kecerdasan minda, tetapi membina kebijaksanaan insan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, pendidikan rendah seharusnya menjadi fasa pembinaan asas literasi, numerasi, adab, akhlak dan karakter, bukan medan persaingan berlebihan.

Namun, pengalaman lalu menunjukkan bahawa UPSR & Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) telah menyumbang kepada budaya exam-oriented yang menekan murid, guru dan ibu bapa, sekali gus mengecilkan ruang pembelajaran bermakna.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2026/01/18/ekosistem-pendidikan-negara-diperkukuh-dengan-rpn-2026-2035/

Sehubungan itu, Wadah menyokong pendekatan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang ditambah baik secara serius, telus dan konsisten.

Katanya, penilaian berterusan yang menilai potensi murid secara holistik merangkumi akademik, sahsiah, kreativiti dan kemahiran berfikir  lebih selari dengan keperluan pendidikan abad ke-21.

Bagaimanapun, sekiranya UPSR & PT3 ingin diteruskan atau diperkenalkan semula dalam apa jua bentuk, Wadah berpandangan bahawa kerajaan perlu terlebih dahulu memastikan beberapa perkara utama.

Ini termasuk kesiapsiagaan guru dari sudut latihan dan beban tugas; kesaksamaan peluang antara sekolah bandar dan luar bandar; dan sistem sokongan psikososial murid agar tidak berlaku tekanan melampau.

Katanya, tanpa persediaan rapi, perubahan dasar hanya akan menambah kekeliruan dan ketidakstabilan dalam sistem pendidikan.

Selain itu, Wadah menggesa agar kerajaan membuka ruang libat urus awam yang tulen melibatkan guru, ibu bapa, pakar pendidikan, NGO dan masyarakat sivil sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.

“Dasar pendidikan yang baik lahir daripada musyawarah, bukan keputusan tergesa-gesa,” katanya lagi.

Menurut Wadah, dalam kerangka Malaysia Madani, pendidikan harus melahirkan insan yang berilmu, beradab, beretika dan berfikiran kritis, bukan sekadar cemerlang dalam ujian piawai. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast