KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh tidak menafikan beliau antara yang mendesak supaya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berundur pada Mei 2018, seperti mana yang ditularkan semula di dalam media sosial ketika ini.
Namun, menurutnya, perbezaan pendapat bukan sesuatu yang asing di dalam UMNO dan perkara itu tidak langsung mengurangkan rasa hormat dan sayang kepada pemimpin yang pernah berjasa.
Sebagai bukti, katanya, beliau sehingga ke hari ini tidak pernah melupakan jasa dan meninggalkan bekas Presiden UMNO berkenaan walaupun Najib kini tidak lagi mempunyai apa-apa kuasa atau apa-apa jawatan ketika ini.
Ujar beliau, situasi itu berbeza dengan segelintir pihak ketika itu yang banyak `mengampu’ Najib, tetapi kini sudah menghilang.
“Itu beza bercakap benar tetapi hormat dengan pencacai mencari makan,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Sejak semalam, hantaran Dr Muhamad Akmal yang mendesak Najib berundur susulan kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) kembali tular di dalam media sosial.
Malah, beberapa pihak menggunakan hantaran lama Dr Muhamad Akmal itu bagi menggambarkan kononnya beliau tidak bersikap jujur dalam membela Najib termasuk dalam isu titah adendum ketika ini. – MalaysiaGazette
















