KUALA LUMPUR – Pemuda Pas Selangor membantah cadangan penukaran status tanah berkeluasan 3.36 hektar di Seksyen 32, Shah Alam daripada status zon guna tanah bagi tujuan institusi awam (pendidikan) kepada komersial (pendidikan swasta).
Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata, penukaran status tanah itu akan memberi impak besar kepada rakyat dan negara, seolah-olah menggambarkan kerajaan sedang ke arah menjadikan sektor pendidikan sebagai sebuah perniagaan berorientasi keuntungan semata-mata dan hanya mampu dinikmati golongan berada.
Menurutnya, keadaan itu sekali gus menafikan peluang saksama kepada anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana.
“Jika mahu bina sekolah swasta juga, cari tanah yang lain, jangan rampas tanah yang sudah sedia diwartakan untuk kepentingan awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohamed Sukri, penukaran status tanah itu jelas mengkhianati hak pendidikan anak-anak rakyat, khususnya di kawasan yang sudah pun berdepan masalah kesesakan sekolah.
Katanya, ketika ribuan murid terpaksa belajar dalam kelas yang menempatkan lebih 40 pelajar, dan masih ada anak-anak yang belum mendapat penempatan di sekolah harian biasa, cadangan itu disifatkan tidak masuk akal serta tidak berperikemanusiaan.
“Sehubungan itu, Dewan Pemuda Pas Selangor menyeru seluruh ibu bapa, penduduk setempat, ahli kariah, pertubuhan masyarakat sivil serta rakyat Selangor untuk bangkit menyatakan bantahan terhadap cadangan ini.
“Kerajaan perlu memastikan akses pendidikan dapat dinikmati semua. Bukan mencari jalan mudah yang bakal membebankan rakyat kelak,” katanya. – MalaysiaGazette
















