KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) akan membina bangunan baharu yang menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) bagi membolehkan kemudahan disiapkan dalam tempoh singkat susulan inisiatif pendidikan baharu termasuk kemasukan awal murid enam tahun ke tahun satu.
Timbalan menterinya, Wong Kah Woh berkata, bagi keperluan tenaga pendidik pula, KPM akan melaksanakan pengambilan khas guru bersama dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) sebagai langkah segera sebelum kohort baharu bermula.
“Berkenaan dengan fasiliti, kemudahan sedia ada di sekolah akan diguna pakai dan dioptimumkan tetapi kita mengambil maklum bahawa ada sekolah-sekolah yang mungkin perlu kita tambah.
“Untuk perancangan jangka masa panjang pula, pengambilan PISMP (Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan) dan PDPP (Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan) juga akan bertambah tertakluk kepada unjuran baharu yang akan disediakan oleh KPM berdasarkan kepada data yang ada,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hishammuddin Hussein (BN-Sembrong) berhubung kesiapsiagaan fasiliti dan tenaga pendidik usulan inisiatif pendidikan baharu termasuk kemasukan awal murid enam tahun ke tahun satu.
Mengulas lanjut, Kah Woh berkata, KPM akan mengutamakan kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah B40 bagi kemasukan ke kelas prasekolah sebagai usaha memastikan akses pendidikan awal yang lebih saksama di seluruh negara.
Beliau berkata, usaha itu selari dengan komitmen kementerian untuk memperluas pendidikan prasekolah percuma bagi mengelakkan keciciran kanak-kanak pada peringkat awal.
“KPM komited dalam memastikan lebih ramai kanak-kanak mendapat akses pendidikan prasekolah percuma selaras dengan agenda utama reformasi pendidikan KPM untuk memperluas kelas prasekolah tanpa menangani isu keciciran pada peringkat awal,” katanya.
Beliau menjawab soalan Hishammuddin yang ingin tahu sama ada akses kepada pendidikan awal kanak-kanak berkualiti mencukupi khususnya bagi keluarga berpendapatan rendah.
Kah Woh menambah, peluasan prasekolah dilaksanakan setiap tahun terutama di lokasi yang mempunyai permintaan tinggi bagi memberikan peluang kepada lebih ramai kanak-kanak, khususnya daripada golongan B40 mengikuti pendidikan prasekolah KPM.
“Pada 2025, KPM telah melaksanakan peluasan sebanyak 150 kelas prasekolah dan pada 2026, peluasan dijangka sebanyak 350 kelas prasekolah yang melibatkan pelbagai jenis institusi KPM akan dilaksanakan.
“Hal ini menjadikan jumlah kelas prasekolah sedia ada ketika ini ialah 10,514 buah dan sedang beroperasi di 6,469 sekolah atau institusi pendidikan di seluruh negara,” katanya sambil menambah peluasan kelas prasekolah tidak terhad di sekolah rendah, sebaliknya turut diperluas ke sekolah menengah, kolej vokasional, kolej matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru (IPG).
Menurut Kah Woh, setakat ini juga terdapat 214,122 guru prasekolah sedang mengikuti kelas prasekolah di institusi pendidikan di bawah KPM. – MalaysiaGazette
















