JOHOR BAHRU – Kerajaan Pahang akan menambah peruntukan bantuan Inisiatif Makmur (IM) Pahang Kluster Siswa untuk pelajar anak negeri itu yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penambahan bantuan secara one off itu akan dilaksana mulai tahun depan susulan keluhan pelajar mengenai peningkatan harga barangan keperluan harian ketika ini.
“Insya-Allah melihat kepada kenaikan kos barang dan rintihan para pelajar, kerajaan negeri akan memikirkan untuk penyambungan supaya tahun depan kita akan bagi tambahan sedikit bantuan ‘one-off’ ini.
“Namun ia bergantung kepada keupayaan kewangan kerajaan negeri. Melihat kepada tren pengurusan kewangan di negeri Pahang terkini, keadaan ini akan bertambah baik dan kita akan kembalikan kepada rakyat terutama kepada pelajar-pelajar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pelancaran IM Pahang, Inisiatif Makmur Pahang Kluster Siswa 2026 di Dewan Sri Perdana, Kolej Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini hari ini.
Hadir sama ialah Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd. Shafry Mohd. Rahim.
Menurut Wan Rosdy, kerajaan negeri memperuntukkan RM9 juta bagi bantuan tersebut pada tahun ini, meningkat RM1 juta berbanding tahun sebelumnya.
Katanya, ini membabitkan bantuan one-off RM400 kepada kira-kira 20,000 mahasiswa anak Pahang yang layak di institusi pengajian tinggi terpilih di seluruh negara.
“Bantuan ini telah ditambah baik secara berperingkat-peringkat sejak 2022 bermula RM200, dinaikkan RM300 pada 2023 dan RM400 sejak 2025 serta dikekalkan bagi tahun 2026 sebagai komitmen berterusan kerajaan negeri,” katanya.
Tambahnya, kerajaan negeri melalui Yayasan Pahang turut menyediakan pelbagai sokongan pendidikan lain buat mahasiswa kelahiran Pahang.
Katanya, bantuan yang diberikan ialah geran Bantuan Pelajaran one-off sebanyak RM700 kepada pra siswazah dan RM1,200 kepada pasca siswazah, kemudahan pinjaman pendidikan serta biasiswa melalui Skim Biasiswa Kecemerlangan Menteri Besar (BKMB) dan Skim Pelajar Cemerlang (SPC).
“Pendidikan merupakan pelaburan strategik negeri dan tiada anak Pahang wajar tercicir daripada arus pendidikan hanya kerana kekangan kewangan,” ujarnya.- MalaysiaGazette















