JOHOR BAHRU – Polis tidak menemui sebarang kesan kecederaan atau terdapat unsur jenayah dalam kes seorang operator menara kren yang maut di sebuah tapak projek pembinaan Residensi Puncak Austin di Jalan Seri Austin 4 di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan ada menerima laporan berhubung kejadian tersebut.
“Laporan berkenaan kejadian seorang lelaki ditemui tidak sedarkan diri dalam kabin kren di tapak pembinaan tersebut. Kejadian berlaku pukul 9.18 pagi tadi.
“Pemeriksaan awal ke atas tubuh mangsa mendapati tidak menemui sebarang kesan kecederaan atau terdapat unsur jenayah,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata, pihak Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dihantar ke unit forensik untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
Katanya, kes diklasifisasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu laporan rasmi bedah siasat.
Pasa masa sama beliau mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut.
Terdahulu mangsa, Muhamad Aliff Ishak, 33 l, dilaporkan tidak sedarkan diri di atas menara kren sebelum kejadian tersebut dilaporkan kepada pihak bomba untuk bantuan menurunkan mangsa.
Pihak bomba kemudian bertindak menjalankan operasi menurunkan mangsa dengan menggunakan satu ‘bucket stretcher’ dan set tali selain bantuan peralatan lain untuk membentuk sistem bagi membawa turun mangsa.
Mangsa berjaya dibawa turun dan disahkan meninggal dunia, mayat diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM).- MalaysiaGazette
















