Pelabuhan Pulau Pinang

PASIR GUDANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berada pada landasan yang betul dalam mengemudi negara di sebalik cabaran tempatan dan global dengan prestasi membanggakan.

Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Pasir Gudang, Murad Jailani berkata, ini boleh dilihat berdasarkan anggaran awalan pertumbuhan terkini Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Sebagai contoh katanya, suku keempat 2025, pertumbuhan melonjak 5.7 peratus membawa pertumbuhan tahunan kepada 4.9 peratus melebihi unjuran rasmi kerajaan antara 4 hingga 4.8 peratus.

“Di sebalik cabaran global seperti tarif timbal balik (Perjanjian perdagangan Malaysia dengan Amerika Syarikat) Kerajaan Madani memastikan kesannya tidak membebankan rakyat.

“Subsidi tepat sasaran terus mengekalkan kuasa beli rakyat manakala reformasi ekonomi berfokus kepada kesejahteraan semua,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, hubungan diplomatik yang kukuh membuka peluang pelaburan langsung asing (FDI) dan perdagangan antarabangsa.

Statistik Bank Negara Malaysia (BNM) pula katanya, menunjukkan aliran FDI meningkat manakala eksport negara terus mencatat pertumbuhan positif, membuktikan keyakinan pelabur global terhadap Malaysia.

“Ekonomi Madani bukan sekadar angka, ia adil, inklusif, berdaya tahan dan lestari, menekankan kesejahteraan rakyat selari dengan pembangunan ekonomi.

“Kepimpinan YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim jelas berwawasan, menegaskan Malaysia berada di landasan ekonomi yang mampan dan rakyat tetap menjadi keutamaan,” ujarnya.

Dengan momentum ini katanya, Malaysia bukan sahaja berkembang pesat tetapi terus menjadi contoh ekonomi inklusif di Asia Tenggara.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast