Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggang melanggar sebuah lori yang parkir di tepi jalan di Lebuhraya EDL, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU – Seorang pekerja am maut apabila motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan dengan sebuah lori di kilometer 7.2 Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik (EDL) di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kemalangan berkenaan berlaku pada pukul 5.30 petang melibatkan motosikal jenis Yamaha 135LC dengan lori.

“Kemalangan berlaku apabila mangsa berusia 26 tahun sedang menunggang seorang diri menghala ke pusat bandar.

“Mangsa kemudiannya hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang lori yang diletakkan di tepi bahu jalan menyebabkan mangsa jatuh di tengah jalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.

Katanya, pemandu lori berkenaan iaitu warga tempatan berusia 47 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Tambah Raub, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan orang awam yang menyaksikan kejadian tersebut diminta menyalurkan maklumat dengan menghubungi Balai Trafik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan.

Tambahnya, mereka boleh terus menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Hafiz Jaafar Mad Ariff di talian 017-5919208 bagi membantu siasatan.

“Polis turut menasihatkan kesemua pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati ketika memandu dan patuhilah undang-undang jalan raya.

“Selain itu pastikan mendapat rehat secukupnya ketika memandu dan kenderaan berada dalam keadaan yang baik bagi mengelakkan berlakunya kemalangan,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast