Nie Ching bersama penerima dalam Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan di SK Putra Utama, Kulai di hari ini.

KULAI – Penguatkusaan undang-undang berhubung pelaksanaan had umur 16 tahun bagi penggunaan media sosial dijangka bermula Julai ini.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, langkah tersebut bertujuan melindungi golongan kanak-kanak serta remaja yang berisiko dieksploitasi dan didedahkan kepada perkara tidak sepatutnya dalam talian.

“Perkara ini kini dalam fasa ‘regulatory sandbox’ bagi membolehkan kerajaan menguji kaedah terbaik sebelum pelaksanaan penuh dibuat.

“Ia dilaksanakan selaras dengan Akta Keselamatan Dalam Talian (Online Safety Act, OnSA) dan perbincangan dengan penyedia platform telah dimulakan bagi mengenal pasti pendekatan paling berkesan,” katanya.

Nie Ching berkata demikian dalam sidang akhbar pada Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Putra Utama di sini hari ini.

Jelasnya, di bawah OnSA, pihaknya telah mulakan perbincangan dengan penyedia platform dan kini dalam peringkat ‘regulatory sandbox’ dalam mencari kaedah terbaik, berkesan serta selamat untuk melakukan pengesahan had umur.

“Buat masa ini kita dalam peringkat perbincangan dan perancangan bersama-sama penyedia platform dan sasaran kita untuk laksanakan pada tahun ini iaitu iaitu pada suku ketiga atau keempat tahun.

“Ini seperti yang diumumkan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil sebelum ini,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kulai.

Untuk rekod, kerajaan menyasarkan setiap platform media sosial melaksanakan pengesahan identiti pengguna secara digital (eKYC) menjelang akhir suku kedua 2026, bagi menguatkuasakan had umur minimum 16 tahun bagi tujuan pembukaan akaun media sosial.

Sementara itu, beliau berkata, Kerajaan Madani melalui Kementerian Pendidikan (KPM) memperuntukkan RM800 juta bagi Bantuan Awal Persekolahan (BAP) tahun ini yang bakal memberi manfaat kepada 5.2 juta murid dari Tahun Satu hingga Tingkatan Enam di seluruh negara.

Menurut Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai, di Johor, seramai 586,153 pelajar menerima manfaat dengan jumlah peruntukan sebanyak RM87.9 juta.

Beliau memberitahu, di daerah ini seramai 58,264 pelajar telah menerima sumbangan yang berjumlah RM8.7 juta.

“Jadi, hari ini kita datang ke SK Putra Utama dan secara simbolik kita telah membuat serahan kepada ibu bapa-ibu bapa terpilih,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast