Hafiz melawat Kuarters Pekerja Bersepadu yang kini menempatkan lebih 3,000 pekerja industri di Johor Bahru, Khamis lalu

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri akan memastikan setiap pelaburan strategik di Johor memberi manfaat langsung kepada rakyat terutama Bangsa Johor.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, antaranya dengan mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti dan memperkukuh ekosistem perindustrian, sekali gus memacu pembangunan ekonomi serta kesejahteraan rakyatnya.

Jelas beliau, perkara tersebut dibuktikan apabila 160 rakyat yang majoritinya Bangsa Johor telah ditawarkan pekerjaan bergaji premium di Brooks Automation.

Menurutnya, Brooks Automation adalah sebuah syarikat global dalam automasi semikonduktor dan robotik di Pasir Gudang dekat sini yang beroperasi secara rasmi pada Khamis lalu.

“Brooks Automation telah memilih Johor sebagai lokasi strategik dengan fasiliti seluas 180,000 kaki persegi dan nilai pelaburan mencecah AS$60 juta, sekali gus membuktikan kekuatan ekosistem perindustrian serta kemudahan infrastruktur negeri ini.

“Pelaburan ini telah membuka peluang pekerjaan berkualiti tinggi kepada rakyat Johor dimana sebanyak 300 peluang pekerjaan diwujudkan termasuk lebih 160 jawatan berpendapatan tinggi.

“Ini dengan keutamaan kepada bakat tempatan serta penyediaan latihan industri secara berterusan,” katanya dimuat naik dalam Facebook miliknya hari ini.

Beliau berkata, lebih membanggakan, penglibatan 29 vendor tempatan dalam rantaian bekalan Brooks Automation akan merangsang aktiviti ekonomi setempat dan memperkukuh ekosistem industri negeri.

Ini selari dengan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan pertumbuhan pelaburan memberi manfaat langsung kepada rakyat dan usahawan tempatan, ujar beliau.

Katanya, menerusi Johor Talent Development Council (JTDC) mensasarkan pewujudan pekerjaan berpendapatan tinggi atau gaji premium bermula sekitar RM4,000 hingga RM5,000 ke atas.

Menurutnya, ini bergantung kepada tahap kemahiran, kepakaran teknikal dan teknologi yang digunakan selari dengan keperluan industri bernilai tinggi dan ekonomi masa hadapan.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast