BUTTERWORTH – Seorang lelaki maut selepas bertarung nyawa lebih 24 jam di hospital, akibat dipukul seorang gelandangan dalam kejadian di Medan Selera Kampung Jawa di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abd Rahman berkata, mangsa berusia lingkungan 60-an itu dikatakan dibawa ke Hospital Seberang Jaya jam kira-kira 2.48 pagi, pada Sabtu lalu akibat patah beberapa tulang rusuk akibat dipukul suspek.
“Bagaimanapun, mangsa yang juga gelandangan disahkan meninggal dunia 7.30 malam semalam, ketika menerima rawatan di hospital berkenaan.
“Hasil bedah siasat yang dijalankan hari ini mendapati punca kematian mangsa disebabkan penyakit jantung koronari.

“Selain itu, mangsa juga disahkan patah tulang rusuk bahagian kiri,” katanya dalam kenyataan media malam tadi.
Tambah beliau, susulan itu, polis menahan seorang gelandangan berusia 40-an bagi membantu siasatan.
“Hasil semakan mendapati suspek lelaki itu positif dadah dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan,” katanya. – MalaysiaGazette















