KUALA LUMPUR – Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) telah membenarkan tujuh pemain Harimau Malaya yang digantung tugas untuk kembali beraksi.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan memaklumkan CAS telah meluluskan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman yang dikemukakan oleh pemain-pemain berkenaan.
Mereka ialah Facundo Garcés, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, João Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Héctor Hevel.

“Keputusan ini bermakna hukuman penggantungan selama 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak yang dikenakan oleh FIFA terhadap tujuh pemain Harimau Malaya tersebut ditangguhkan buat sementara Waktu.
“Mereka dibenarkan untuk meneruskan karier serta menyertai sebarang aktiviti berkaitan bola sepak sehingga keputusan muktamad rayuan di CAS dibuat.
Tujuh pemain berkenaan telah digantung oleh FIFA susulan dakwaan pemalsuan dokumen bagi kelayakan pemain naturalisasi.
Selain penggantungan pemain-pemain tersebut, FIFA turut mendenda FAM sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta). – MalaysiaGazette
















