Aznan melawat penduduk terjejas akibat kebakaran tanah gambut di PPS di SK Sungai Kapal, Pengerang, Kota Tinggi hari ini.

KOTA TINGGI – Alat pemantauan udara (GRIMM) akan dipasang hari ini di sekolah sekitar Taman Bayu Damai, Pengerang dekat sini yang berisiko terjejas dengan kebakaran tanah gambut sejak Jumaat lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin berkata, GRIMM akan memantau perkembangan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dan jika keadaan bertambah buruk sekolah yang terjejas akan diarah ditutup.

“Setakat ini sekolah masih beroperasi seperti biasa kerana laluan asap itu tak sampai ke kawasan sekolah dan kami juga mengharapkan pihak jabatan terbabit akan berhubung langsung dengan kita.

“Kalau ada peningkatan (bacaan udara) pihak kami dan juga pihak PPD (Pejabat Pendidikan Daerah) Kota Tinggi akan mulakan tindakan, mungkin kita tutup sekolah atau sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kapal di sini hari ini.

Katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat, setakat ini lapan murid terjejas daripada keseluruhan 112 mangsa dan mereka masih hadir ke sekolah seperti biasa.

Menurut Aznan, pihaknya tidak memperletatkan syarat untuk murid terjejas itu ke sekolah kerana tidak mahu membebankan mereka.

“Mereka masih lagi nak ke sekolah tapi kita tak perketatkan syarat. Kadang-kadang mereka tak cukup baju ataupun tak ada pakaian sekolah, itu yang kita galakkan ke sekolah walaupun tak ada pakaian sekolah.

“Pakai baju biasa sahaja dan yang penting mereka nak pergi ke sekolah,” ujarnya.

Sehingga tengah hari ini seramai 112 penduduk melibatkan 39 keluarga dari Taman Bayu Damai ditempatkan di dua PPS yang dibuka sejak semalam.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast