Nor Farhanah bersama bayinya yang berusia empat bulan ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Taman Bayu Damai, Pengerang, Kota Tinggi hari ini.

KOTA TINGGI – “Kepala pening, sakit hidung, sakit dada dan sakit tekak. Saya tak boleh nak makan sudah beberapa hari, makan sikit-sikit sahaja untuk alas perut.”

Demikian cerita Haritah Jamal, 47, mangsa pencemaran akibat kebakaran tanah gambut di Taman Bayu Damai, Pengerang di sini yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Taman itu sejak semalam.

Dia berkata, kebakaran tersebut berlaku Jumaat lalu dan keadaan semakin buruk kelmarin dengan asap tebal menyelubungi perumahan tersebut hingga memaksa mereka sekeluarga berpindah.

“Apabila keadaan bertambah buruk saya yang bekerja di sebuah sekolah tidak dapat bekerja kerana perlu menjaga ibu dan tiga anak berusia 12, 6, dan 4 tahun.

“Anak-anak saya tetap pergi ke sekolah walaupun mengalami batuk-batuk. Kebakaran kali ini paling teruk sehingga memaksa penduduk berpindah,” katanya ditemui di PPS Dewan Serbaguna taman berkenaan hari ini.

Nor Farhanah Abdullah, 34, yang baru habis pantang dan turut berlindung di PPS tersebut berkata, keluarganya mengambil keputusan berpindah selepas bimbang keselamatan bayinya.

Dia berkata, sepanjang 11 tahun tinggal di penempatan tersebut itu adalah pertama kali dia sekeluarga terpaksa pindah ke PPS.

Katanya, biasanya penduduk dipindahkan kerana berlaku banjir namun kali ini agak berbeza kerana melibatkan bencana lain.

“Saya ada bayi berusia empat bulan. Semuanya ada tiga orang tinggal di rumah termasuk mak mentua. Memikirkan anak kecil dan mak mentualah kami cepat-cepat berpindah ke PPS.

“Semalam pagi ok sikit, lepas itu tengah hari asap semakin tebal, kemudian saya cakap pada mak ajak pindah ke PPS. Risau keadaan orang tua dengan bayi,” katanya.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, kesan asap kebakaran tersebut juga menyebabkan dua anaknya mengalami batuk-batuk.

“Dua anak dah kena batuk-batuk, anak yang bayi belum ada lagi ada sakit, sebab risau pada dialah kami terus pindah sebab bayi kalau dah sakit susah kan.

“Kita amat berharap biarlah bencana ini cepat selesai, kami dapat pulang ke rumah segera dan dapat jalani kehidupan seperti biasa,” katanya lagi.

Seorang lagi penduduk, Latifah Jamin, 68, yang mempunyai sejarah sakit jantung segera berpindah ke PPS kerana bimbang keadaan asap kebakaran memasuki rumah.

“Sejak menghidap sakit jantung saya memang mudah alami sesak nafas. Saya baru pindah ke PPS semalam. Kelmarin saya tiada di rumah kerana pergi ke rumah anak di Muar.

“Bila balik sahaja sini adik beradik terus minta saya pindah ke PPS kerana mereka tahu keadaan kesihatan saya dan bimbang jika berlaku apa-apa.

“Setakat ini alhamdulillah saya baik sahaja lagipun di sini ada pasukan kesihatan yang disediakan di dewan jadi apa-apa mudah untuk rujuk,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast