MERSING – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan 11 warga asing atas pelbagai kesalahan selepas melakukan serbuan di lima buah kampung terpencil di sini semalam.
Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi tersebut yang bermula pukul 12.40 tengah malam melibatkan 12 pegawai dari Bahagian Penguat Kuasa Cawangan Mersing serta pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Bertindak atas maklumat awam dan risikan, operasi bersama-sama Majlis Daerah Mersing yang yang dijalankan ke atas lim rumah berjaya menahan kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Dalam serbuan ini mendapati sebahagian majikan dan individu tempatan bertindak sebagai perantara dalam urusan sewaan bagi menyorokkan indentiti sebenar penyewa,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati 11 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
Mereka yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki dewasa warganegara Indonesia, dua lelaki dewasa Bangladesh, lima lelaki dewasa Pakistan dan seorang wanita dewasa Indonesia.
Jelasnya, mereka yang ditahan dipercayai tinggal di kedai tersebut berusia dalam antara 22 hingga 45 tahun.
“Kesemua yang ditahan disyaki telah melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya.
Katanya, semua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika di Johor Bahru untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Tambahnya, dua keping borang 29 iaitu saman kepada saksi dikeluarkan sepanjang pemeriksaan untuk membantu siasatan.
“JIM mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang telah menyalurkan maklumat dan bersama-sama mengambil berat terhadap isu warga asing.
“Jabatan ini juga mengalu-alukan sebarang maklumat berkait kesalahan melindungi PATI serta pemerdagangan orang dan penyeludupan migran ke negara ini,” katanya.- MalaysiaGazette
















