Air Sungai Johor di kawasan jeti Kampung Orang Asli Sayong Pinang, Kota Tinggi, semalam, kembali tercemar selepas bertukar warna hitam.

JOHOR BAHRU -Sebuah kilang sawit diarah menghentikan operasi selepas siasatan mendapati ia menjadi punca pencemaran Sungai Sayong di Kampung Orang Asli Sayong Pinang, Kota Tinggi berpunca dari kilang itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, berdasarkan aduan kelmarin, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor segera dengan menjalankan siasatan di lokasi aduan pada hari yang sama.

Katanya, JAS Johor semalam pula telah memperluaskan skop siasatan dengan menyusuri kawasan hulu Sungai Sayong sehingga ke daerah Kluang.

“Hasil siasatan ini berjaya mengenal pasti sebuah kilang memproses kelapa sawit yang disyaki sebagai punca utama pencemaran terletak kira-kira 45 kilometer dari lokasi aduan asal di Kampung Orang Asli Sayong Pinang.

“Siasatan teknikal di premis berkenaan mendapati berlakunya pelanggaran serius oleh pihak syarikat yang mengakibatkan pencemaran Sungai Sayong serta memberi kesan kepada penduduk Kampung Orang Asli Sayong Pinang dan kawasan sekitarnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan penemuan tersebut beliau mengarahkan tindakan serta-merta diambil terhadap premis terbabit.

“JAS Johor telah mengenakan Perintah Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” ujarnya.

Selain itu katanya, lesen operasi premis berkenaan turut digantung sehingga semua kerja pembaikan dan penambahbaikan dilaksanakan sepenuhnya serta disahkan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Langkah itu katanya, bertujuan menghentikan serta-merta punca pencemaran, melindungi alam sekitar dan memastikan pematuhan sepenuhnya oleh pihak industri.

Dalam masa yang sama kata Tian Soon, tindakan tegas turut diambil dengan menahan pengurus kilang dan seorang operator di bawah Seksyen 37(C), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Jelasnya, ini bagi membolehkan siasatan lanjut dilengkapkan sebelum tindakan pendakwaan di mahkamah diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.

“Pihak industri diingatkan agar sentiasa memastikan sistem pengolahan efluen berfungsi dengan baik serta mematuhi sepenuhnya peruntukan undang-undang di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Saya menyeru orang awam untuk melaporkan sebarang aktiviti pencemaran alam sekitar melalui talian bebas tol 1-800-88-2727, emel [email protected] atau portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my,” katanya.

Tambahnya, kerajaan Johor merakamkan penghargaan kepada orang awam atas kerjasama yang diberikan dan menggesa masyarakat terus memainkan peranan dalam memelihara kelestarian alam sekitar.

Pencemaran terbaharu di sungai tersebut dikesan kelmarin kembali meresahkan penduduk setempat selepas airnya bertukar warna menjadi hitam.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast