Ahmad Fadhli Shaari.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari bersedia dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen susulan penggunaan istilah `binaan haram’ dan `rumah ibadat haram’ di Dewan Rakyat.

Menurut Ketua Penerangan Pas berkenaan, kedua-dua istilah itu adalah perkataan yang biasa digunakan dan bukan penghinaan sama sekali.

Malah beliau juga tidak merujuk kepada mana-mana rumah ibadat tertentu ketika menggunakan istilah tersebut dalam perbahasannya.

Beliau turut mengambil contoh ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Amanah Negara (Amanah), Mohd Fakhrulazri Mohd Mokhtar turut menggunakan istilah rumah-rumah ibadat haram ketika membangkitkan isu terbabit.

Begitu juga, ujarnya, ADUN Sungai Pelek daripada DAP iaitu Lwi Kiang Keong turut menggunakan istilah rumah ibadat haram di dalam DUN Selangor dalam perbahasan berkenaan isu terbabit.

“Jika penggunaan istilah rumah ibadat haram dikatakan menghina maka yang lebih awal menghina ialah ADUN dari parti YB Jelutong sendiri di dalam DUN Selangor.

“Walaupun peraturan DUN Selangor tidak mengikat sebarang peraturan di Dewan Rakyat, tetapi berhujah atas asas penggunaan bahasa yang difahami bersama, saya meyakini dakwaan YB Jelutong itu telah tersasar,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau.

Semalam, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer mengemukakan satu usul bagi merujuk Ahmad Fadhli ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen di bawah Peraturan Mesyuarat 36(10)(c) susulan ucapan yang didakwa menyentuh isu sensitif berkaitan kaum dan agama.

Menurut Rayer, tindakan itu diambil selepas Ahmad Fadhli menggunakan istilah ‘binaan haram’ dan ‘rumah ibadat haram’ berulang kali dalam perbahasan di Dewan Rakyat.

Sementara itu, Ahmad Fadhli berkata, beliau yakin usul yang akan dibawa Rayer tersebut tidak akan berjaya memandangkan perkara berkenaan jelas dan terang tanpa sebarang syak wasangka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast