KUALA LUMPUR – Pihak yang membongkar, membuat laporan, menegur atau mengkritik pencerobohan tanah serta binaan sembahan haram yang tidak mengikut proses undang-undang tidak sepatutnya dilayan sebagai penjenayah, tegas Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM).
Presidennya, Muhamad Hisham Marzuki berkata, sekiranya pihak berkuasa perlu merekod kenyataan mereka, proses perundangan yang betul dan tanpa intimidasi perlu dilakukan tanpa sebarang penahanan atau rampasan hingga permohonan reman.
“Penahanan dan rampasan sebegini jika berterusan akan memberikan impak negatif terhadap kepercayaan rakyat ke atas kedaulatan undang-undang di negara ini serta integriti dan kebebasan pihak berkuasa dalam menguatkuasakan undang-undang.
“Ini kerana pihak berkuasa kelihatan seolah-olah sengaja mengggunakan taktik intimidasi dan menakutkan orang awam daripada membongkar kejadian pencerobohan tanah dan binaan sembahan haram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN
https://malaysiagazette.com/2026/01/27/tapak-ganti-kuil-di-pjs4-bukan-tapak-surau-fahmi-ngah/
Katanya, PPMM dimaklumkan, terdapat dua aktivis telah diambil tindakan semalam iaitu Tamim Dahri, aktivis Tanah Malaya yang disiasat di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan dalam masa sama telefon bimbitnya turut dirampas.
Seorang lagi aktivis yang disiasat adalah Islah Wahyudi daripada Randuk Malaysia yang juga Pengerusi Pemerkasaan Identiti Malaysia (Identiti).
Islah ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang dan permohonan reman terhadapnya telah dibuat pagi tadi di Mahkamah Sepang.
Bagaimanapun Majistret Khairatul Aminah Jelani menolak permohonan tersebut dan memerintahkan pihak polis melepas dan membebaskan aktivis berkenaan serta merta.
Kedua-duanya dilaporkan ditahan susulan pendedahan dan hantaran di media sosial berhubung aktiviti pencerobohan tanah serta binaan sembahan haram, baru-baru ini.
“PPMM ingin mengingatkan pihak berkuasa sama ada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia mahu pun PDRM bahawa kuasa yang ada adalah amanah dan tidak wajar disalahguna bagi menekan, mengekang atau menakutkan rakyat daripada menyatakan kebenaran,” katanya lagi.
Muhammad Hisham menegaskan, pihak berkuasa sepatutnya menggunakan kuasa yang ada untuk mengambil tindakan terhadap penceroboh sama ada melalui tanah persendirian atau tanah milik kerajaan yang melanggar undang-undang tanpa sebarang sikap memilih.
PPMM juga katanya, menggesa agar hak dan perlindungan orang awam dalam Perlembagaan Persekutuan dihormati oleh penguatkuasaan tanpa tunduk kepada mana-mana tekanan daripada pihak luar. -MalaysiaGazette
















