Kejadian maut  membabitkan dua lelaki warganegara India maut kerana jatuh dalam lubang pembetungan baru-baru ini tidak melibatkan kontraktor atau aset selenggaraan Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd.

KUALA LUMPUR – Syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn. Bhd. hari ini mengorak langkah dalam memperkukuhkan usaha inklusiviti dan kepelbagaian melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat baharu yang dinamakan Sahabat Istimewa IWK.

Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam berkata, inisiatif ini adalah kesinambungan usaha Syarikat kepada komitmen jangka panjang dalam menyokong pembangunan komuniti khususnya daripada golongan kelainan upaya.

“Pemerkasaan yang ingin kita laksanakan bukan sekadar bersifat kebajikan semata-mata, tetapi lebih kepada membina keupayaan dan membuka peluang.

“IWK ingin melihat mereka bukan hanya penerima bantuan, tetapi sebagai sahabat yang mampu menyumbang kepada pembangunan sosial dan ekonomi negara,” katanya ketika berucap di Teater Amal IWK “Najis Jadi Teman” di IWK Eco Park.

Sahabat Istimewa IWK melebihi program CSR biasa kerana inisiatif ini akan menumpukan kepada pembangunan kemahiran, peningkatan keyakinan diri dan persediaan peserta untuk menyertai dunia pekerjaan, membolehkan mereka menjalani kehidupan yang lebih berdikari, bermakna dan memuaskan.

Sebagai langkah awal, IWK akan bekerjasama dengan Pertubuhan Kebangsaan Bahasa Isyarat dan Pengajian Pekak Malaysia (MyBIM) dan Persatuan OKU Sentral bagi memastikan setiap program berasaskan keperluan sebenar komuniti dan memberi impak yang bermakna serta lestari. Melalui kerjasama ini, peluang latihan, pembangunan kemahiran dan pertumbuhan akan disesuaikan dengan kemampuan, minat, dan aspirasi peserta.

“Kami percaya bahawa setiap individu, tanpa mengira keupayaan fizikal atau intelektual, mempunyai potensi, bakat dan kekuatan tersendiri yang wajar diberi ruang serta peluang untuk berkembang.

“Melalui Sahabat Istimewa IWK, kami berhasrat untuk menyokong dan membina kemahiran penting dan memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi dunia pekerjaan dan seterusnya menjalani kehidupan yang lebih berdikari,” tambah Narendran.

Pelancaran Sahabat Istimewa IWK dipersembahkan melalui pementasan teater amal IWK bertajuk ‘Najis Jadi Teman’. Persembahan kreatif ini memaparkan kerja-kerja di belakang tabir IWK dan pada masa yang sama menampilkan wakil komuniti pekak dan turut dijayakan bersama penyanyi terkenal MimiFly dan Atilia Haron serta pelakon teater Alfred Loh dan Phraveen Arikiah.

Persembahan ini dihasilkan dengan kerjasama Wayang Kitchen dan arahan oleh penggiat teater tempatan Razif Hashim.

Selain itu, kanak-kanak daripada Yayasan Chow Kit (YCK), sebuah NGO tempatan yang komited menyokong kanak-kanak dan remaja berisiko di Kuala Lumpur turut mengambil bahagian dalam persembahan tersebut.

Selain itu, IWK amat berbesar hati dan teruja kerana berpeluang memiliki beberapa karya lukisan hasil sentuhan bakat istimewa daripada Persatuan Autisme Kebangsaan Malaysia (NASOM) – yang melambangkan kreativiti, semangat dan potensi komuniti autisme. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast