Jegan meninjau Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) di Little India, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Dalam usaha melindungi pengguna semasa musim perayaan, KPDN Pulau Pinang meningkatkan rondaan harga di kawasan tumpuan bagi memastikan tiada kenaikan harga yang tidak munasabah.

Pengarah KPDN negeri, S. Jegan berkata, pemantauan dijalankan menerusi pendekatan omnipresence, iaitu kehadiran berterusan anggota penguat kuasa di lapangan bagi memastikan kepentingan pengguna sentiasa terpelihara.

Katanya, tindakan itu juga diambil susulan aduan Persatuan Hindu Pulau Pinang (PHA) mengenai kenaikan harga 15 barangan keperluan asas sempena Thaipusam dan Tahun Baharu Cina.

“Setakat Januari 2026, kami telah memantau 6,384 premis untuk memastikan bekalan mencukupi dan harga barangan terkawal.

Sehingga kini, pihak kami masih belum menerima sebarang aduan rasmi berkaitan kenaikan harga barangan yang didakwa PHA,” katanya selepas melakukan pemeriksaan dan meninjau Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) di Little India di sini hari ini.

Jegan.

Tambah beliau, KPDN menggunakan data daripada lebih 45 pasar awam, 13 pasar raya besar dan 18 pasar raya sebagai asas pemantauan harga.

“Kita juga sedia bekerjasama dengan mana-mana persatuan untuk program yang memberi manfaat kepada pengguna.

“Orang ramai digalakkan menyalurkan aduan terus kepada KPDN dan memanfaatkan aplikasi Price Catcher untuk membandingkan harga barangan keperluan harian,” katanya.

Sebelum ini, PHA melaporkan tinjauan mereka di beberapa kedai runcit dan pasar basah di negeri ini mendapati kenaikan harga antara 14 hingga 100 peratus bagi 15 barangan utama, termasuk tomato, mangga, halia, terung, bendi, kubis bunga dan kacang.

Mengulas mengenai PJRM pula, Jegan berkata, ia terus diperkasakan dengan pelaksanaan di lokasi strategik seluruh negeri.

“Bagi 2026, program ini dirancang sebanyak 120 kali sebulan dan setakat Januari ini, sebanyak 202 lokasi telah dijalankan, berbanding lebih 2,000 program tahun lalu merangkumi 40 kawasan DUN,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast