KOTA TINGGI – “Sebelum ini tanaman pisang dan betik terjejas akibat ribut dan banjir, kali ini diuji dengan kebakaran pula.”
Itu rungutan pekebun, Mohammad Fauzi Abu Bakar, 38, yang mengusahakan tanaman pisang dan betik yang terkesab dengan dan mengalami kerugian akibat kebakaran tanah gambut di Taman Bayu Damai, Pengerang di sini.
Menurutnya, kebakaran tersebut yang berlaku sejak Jumaat lalu menjadi ujian ketiga buatnya selepas dua kali sebelum ini diuji dengan bencana alam.
“Sejak mengusahakan tanaman pisang dan betik pada awal 2023, saya sudah berdepan tiga ujian bencana iaitu kebakaran, ribut dan banjir.
“Pada penghujung tahun 2023, tanaman saya terjejas akibat ribut kuat, kemudian selepas saya usahakan semula, diuji pula dengan banjir pada 2024.
“Selepas raya tahun lalu, saya usahakan semula tanaman ini dan bertahan setahun. Ingatkan semua berjalan lancar, tak sangka awal tahun ini diuji pula dengan kebakaran tanah gambut ini,” katanya ditemui di rumahnya di taman berkenaan hari ini.
Dia menyasarkan hasil pisang tersebut untuk dibuat kerepek pisang menjelang Hari Raya Aidilfiri kali ini.
“Kira-kira cukup hasil tanaman untuk raya ini, saya pula dah ambil tempahan serta deposit 50 peratus pada siapa yang buat tempahan tetapi bila jadi begini, memang tak boleh buat apa.
“Jika ia dapat dijual, hasil diperoleh mencecah RM14,000 tetapi apakan daya, bukan rezeki saya tahun ini,” katanya.
Menurutnya, kebakaran tanah gambut itu menjejaskan 20 pokok betik, 90 pokok pisang tanduk, 10 pokok pisang montel dan 10 pokok pisang raja serta beberapa pokok limau kasturi yang ditanam atas tanah seluas 1,800 meter persegi.
Akibat kejadian tersebut, dia terpaksa mengeluarkan semula belanja kira-kira RM3,000 untuk mengusahakan semula tanamannya itu membabitkan pembelian benih, baja dan kelengkapan lain.
“Selain membuat kerepek pisang, saya ada menjual pisang cheese. Bagaimanapun, akibat kebakaran ini, pembesaran buah ini terencat dan semuanya perlu dibuang.
“Proses membersih dan membuang semua tanaman mencecah RM1,150 pula kemudian baharu boleh tanam semula,” jelasnya.
Walaupun usahanya sentiasa diuji, Mohammad Fauzi tidak putus asa dan akan terus mengusahakan semula kebun berkenaan bagi menampung semula kerugian yang dialami.
Dia yang bekerja sebagai operator peralatan di Johor Port, Pasir Gudang meminati bidang pertanian sebelum menjadikannya sebagai antara sumber pendapatan.
“Tahun ini memang tiadalah pendapatan sampingan untuk raya, saya tengok seminggu dua ini yang mana saya rasa elok, mungkin kurang 10 tandan, saya ambil untuk makan sendiri sahajalah.
“Agak sedih dan tertekan namun saya tidak hilang semangat untuk usahakan semula kebun ini,” katanya yang sudah tinggal di Taman Bayu Damai selama 11 tahun.
Bercerita keadaan ketika kebakaran berlaku, bapa empat anak itu berkata, malam Jumaat lalu, dia hendak keluar bekerja sebelum melihat kawasan tanah gambut di sebelah rumahnya terbakar.
Walaupun ketika itu api masih kecil tetapi katanya, bau asap kuat sudah mula dapat dihidu.
Ketika itu dia tidak menyangka keadaan semakin memburuk sebelum dua ke tiga hari kemudian, dia pulang ke rumah dan melihat tanamannya sudah rosak.
“Mula ingat tidak ada apa dan asalnya daun-daun tanaman ini tidak layu pun, memang hijau subur, saya memang jaga daunnya.
“Masa asap datang memang tidak nampak lagi akan menjejaskan tanaman, sekali selepas dua tiga hari, saya balik rumah dan tengok, ada daun dah gugur, buah pun terencat, memang jauh beza dari sebelumnya,” katanya. – MalaysiaGazette















