KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin masih lagi Pengerusi Perikatan Nasional (PN) selagi majlis tertinggi gabungan itu tidak meluluskan peletakan jawatan beliau.
Lantaran itu, Muhyiddin mesti dijemput ke Mesyuarat Luar Biasa PN, kata Datuk Dr. Marzuki Mohamad.
Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Muhyiddin itu menambah, tindakan tidak menjemput Muhyiddin ke Mesyuarat Luar Biasa PN adalah pelanggaran perlembagaan PN yang jelas dan mutlak.
“Sedangkan Fasal 8.3(I)(b) Perlembagaan PN menyebut: “Sekiranya Pengerusi meletakkan jawatan, peletakan jawatan itu hendaklah berkuat kuasa selepas mendapat kelulusan majlis tertinggi yang akan memilih dengan secepat mungkin seorang pengerusi baharu”.
“Ada tiga elemen penting dalam fasal ini iaitu peletakan jawatan, kelulusan MT dan kuat kuasa peletakan jawatan.
“Walau apapun kandungan surat Tan Sri Muhyiddin, Perlembagaan PN adalah sumber otoriti parti yang paling tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam sidang media yang mempertahankan tindakannya tidak menjemput Muhyiddin ke Mesyuarat Luar Biasa PN.
Alasan Takiyuddin ialah Muhyiddin telah melepaskan jawatan Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Marzuki menempelak kenyataan itu dengan menyifatkan perkara ini benda kecil sahaja.
“Bukan ribut dalam cawan pun. Masukkan saja nama Tan Sri Muhyiddin dalam lampiran surat jemputan ke Mesyuarat Luar Biasa PN. Takkan jadi kecoh.
“Nama lengkap Tan Sri Muhyiddin cuma mengandungi 25 huruf. Tak lenguh pun jari menaip,” sindirnya. – MalaysiaGazette















