Pemandu lori dijatuhkan hukuman penjara tiga bulan dan denda RM100,000 di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas tuduhan terbabit dengan aktiviti pelupusan haram dan pencemaran alam sekitar.

JOHOR BAHRU – Seorang pemandu lori dijatuhkan hukuman penjara tiga bulan dan denda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan terbabit dengan aktiviti pelupusan haram dan pencemaran buangan terjadual kod SW322, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh, S. Ganesan, 51, mengaku bersalah bagi empat pertuduhan.

Tertuduh didakwa menggunakan sebuah lori jenis Scania dan sebuah semi treler untuk mengangkut, mencemarkan permukaan tanah, melepaskan ke perairan daratan serta melupuskan buangan terjadual SW 322 iaitu buangan pelarut organik tidak terhalogen tanpa lesen dan kelulusan Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di bawah jambatan, Rizab Jalan Persekutuan, Jalan Kampung Maju Jaya, Mukim Tebrau di sini, pasa 4 November 2023.

Lelaki itu didakwa di bawah Seksyen 18(1A), Seksyen 24(1), Seksyen 25(1) dan Seksyen 34B(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan bagi setiap pertuduhan, namun memerintahkannya berjalan secara serentak bermula dari tarikh sabitan, serta denda RM100,000 bagi pertuduhan di bawah Seksyen 34B(1)(a) atau dua bulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan.

Selain itu, lori jenis Scania dan semi treler yang digunakan dalam kejadian itu turut diperintahkan untuk dilucuthakkan kepada Kerajaan Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Johor, Dr Mohd Famey Yusoff berkata, pihak industri dan masyarakat diingatkan suoaya sentiasa mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya.

“Kegagalan pematuhan terhadap peruntukan jabatan akan menyebabkan tindakan perundangan tegas dikenakan ke atas syarikat, pengarah syarikat serta individu yang terbabit tanpa kompromi.

“Saya menyeru orang awam untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau email ke [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my,” katanya dalam kenyataan media.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast