JOHOR BAHRU – Seramai 1,404 pegawai dan anggota polis di Johor akan bertugas di beberapa lokasi stategik dalam Op Palu sempena perayaan Hari Thaipusam pada 31 Januari hingga 2 Februari ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, daripada jumlah tersebut 155 adalah pegawai kanan polis manakala 1,249 lagi adalah pegawai rendah polis di seluruh negeri.
“Ini bagi memastikan tahap keselamatan, ketenteraman awam sertai kelancaran orang ramai berada pada tahap terbaik sepanjang tempoh perayaan.
“Sambutan perayaan Hari Thaipusam di seluruh negeri dijangka berlangsung dalam keadaan terkawal dan selamat dengan kehadiran pengunjung yang tinggi khususnya di lokasi utama seperti rumah ibadat, laluan pergerakan dan kawasan tumpuan awam,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata, sebanyak 17 kuil sudah dikenal pasti akan mengadakan perarakan di seluruh Johor.
Jelasnya, pegawai dan anggota terbabit akan merangkumi penugasan secara statik dan bergerak, kawalan lalu lintas serta rondaan pencegahan jenayah.
Ab Rahaman menasihatkan orang ramai agar mematuhi arahan dan nasihat pihak polis sepanjang sambutan berlangsung, merancang perjalanan lebih awal, mematuhi peraturan lalu lintas dan rondaan pencegahan jenayah. – MalaysiaGazette
















