KUALA LUMPUR – Penggunaan perkataan ‘cerai’ dalam perbincangan mengenai kedudukan Sarawak di dalam Malaysia adalah tak perlu dan tidak membina.
Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berkata, perbincangan mengenai hak, autonomi dan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bukanlah satu penolakan, sebaliknya mencerminkan tanggungjawab bersama untuk memperkukuh Persekutuan.
Beliau yang juga Bendahari UMNO Sabah menambah, perbezaan pandangan dan kritikan membina wajar dilihat sebagai sebahagian daripada amalan demokrasi yang sihat, bukan ditafsir sebagai ancaman kepada perpaduan.
Ujar beliau, Malaysia akan terus bergerak ke hadapan apabila para pemimpin mengutamakan dialog, rasa hormat dan kewarasan berbanding bahasa yang bersifat emosional.
“Perpaduan sebenar tidak dibina dengan menutup perbezaan, tetapi dengan menangani perbezaan secara bijaksana, seimbang dan berteraskan tujuan bersama — demi membawa Malaysia melangkah ke hadapan bersama,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, beberapa portal berita khususnya yang berpangkalan di Sarawak melaporkan dengan meluas kenyataan berkenaan `mungkin Sarawak tidak pernah ditakdirkan bersama Malaysia’ yang dikaitkan dengan Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Kapit, Dato Sri Alexander Nanta Linggi. – MalaysiaGazette
















