UMNO Bahagian Jeli, Wan Mahussin Wan Zain

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO mempersoalkan tindakan kepimpinan Pas yang didakwa terus menampilkan tokoh-tokoh agama berusia dan uzur sebagai simbol serta perisai politik meskipun keadaan kesihatan mereka semakin merosot.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Jeli, Wan Mahussin Wan Zain sedih melihat keadaan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin yang kini berdepan masalah kesihatan serius dan ada yang terpaksa menggunakan kerusi roda.

“Saya sedih melihat Tok Guru Hadi Awang dan Mursyidul Am Pas hari ini. Tubuh uzur, kesihatan semakin rapuh, ada yang sudah berkerusi roda. Itu hakikat yang tak boleh dinafikan,” katanya dalam satu kenyataan.

Wan Mahussin merujuk beberapa keping gambar yang memaparkan Abdul Hadi dan Hashim dibawa memasuki program pemukiman Pas di Bangi semalam dengan berkerusi roda.

Menurut beliau, persoalan utama bukan soal keupayaan individu semata-mata sebaliknya sejauh mana parti sanggup terus membebankan tokoh agama berusia dengan tanggungjawab kuasa politik.

“Sampai bila sosok setua ini perlu dipaksa terus memikul beban kuasa? Bukankah Islam mengajar rahmah? Bukankah kepimpinan juga soal ihsan?” soal beliau.

Wan Mahussin berpandangan, tindakan terus menarik tokoh agama yang sepatutnya dihormati dan direhatkan ke pentas politik bukan lagi boleh dianggap sebagai perjuangan.

“Apabila seorang tokoh agama yang sepatutnya dimuliakan di penghujung usia masih dijadikan simbol dan perisai politik, itu bukan lagi perjuangan. Itu eksploitasi,” tegasnya.

Beliau turut menyifatkan keadaan itu mencerminkan kegagalan Pas melahirkan pelapis kepimpinan serta ketakutan dalaman parti untuk melakukan perubahan dan peralihan kuasa.

“Yang lebih menyedihkan bukan sekadar jasad yang lemah tetapi ketiadaan pelapis, ketiadaan keberanian untuk melepaskan kuasa dan ketakutan parti sendiri untuk berubah,” katanya.

Wan Mahussin turut mempersoalkan keikhlasan Pas dalam menghormati tokoh agama sekiranya mereka terus digunakan sebagai alat kelangsungan politik.

“Tak kesian ke melihat tokoh agama digunakan begini? Tak rasa bersalah ke menjadikan orang tua sebagai alat survival politik?” katanya lagi.

Menurut beliau, kuasa politik seharusnya memberi maruah dan ketenangan kepada tokoh agama, bukannya memeras sisa kudrat demi kepentingan parti.

“Jika benar menghormati Tok Guru, biarlah beliau berehat, bukan dipaksa terus berdiri atau berkerusi roda demi kuasa yang tak berpenghujung,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast