KOTA TINGGI – Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan sedang menunggu lampu hijau untuk berbincang mengenai pembahagian kerusi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO itu berkata, sebagai gabungan politik yang bersama-sama dalam Kerajaan Perpaduan, perkara tersebut perlu dibuat mengikut saluran yang betul dengan mengadakan perbincangan bukan secara terbuka.
“Kita bila duduk dalam Kerajaan Perpaduan, kita boleh duduk berunding. Saya tidak suka bergaduh di publik, jangan bergaduh depan orang ramai, itu pandangan saya.
“Wakil Amanah di peringkat Pusat dan dan negeri, bolehla kita berbincang pada satu masa yang tertentu.
“Bagaimanapun setakat ini di mana-mana rule of thumb, siapa-siapa yang sudah menduduki kerusi (parti mana yang menang dalam PRN sebelum ini) itulah (formula penyandang kerusi itu dikekalkan pada PRN Johor),” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata demikian dalam sidang akhbar selepas lawatan kerja ke tapak projek pelebaran Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) di sini hari ini.
Katanya, formula tersebut perlu diteruskan termasuk Barisan Nasional (BN) Johor yang bertanding 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN sebelum ini.
Jelas beliau yang juga Ketua Sekretariat War Room UMNO Malaysia berkata, formula itu sudah banyak kali digunapakai iaitu penyandang kerusi akan bertanding semula di kerusi yang mereka menangi.
Contoh, kata Ahmad dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota, Sungai Bakap dan Nenggiri dengan terbaharu di Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag.
“Siapa-siapa yang telah memenangi satu-satu tempat itu maka merekalah yang akan bertanding semula di tempat yang berkaitan. Itu prinsipnya begitu walaupun demikian mungkin ada perbincangan lain yang perlu dibuat.
“Janganlah menjerit sana menjerit sini, tak elok ya sebab kita satu keluarga, lainlah kalau kita tak satu keluarga,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan Johor dan Melaka kini perlu membuat persiapan rapi menghadapi kemungkinan PRN yang boleh diadakan dalam tempoh terdekat.
Sebelum ini, Ketua PH Johor, Aminolhuda Hassan berpendapat, konsep free for all mungkin pilihan terbaik bagi menyelesaikan kebuntuan mewujudkan kerjasama dengan BN di negeri itu.
Menurut Ahli Parlimen Sri Gading itu, menerusi pendekatan tersebut semua parti boleh bertanding di kerusi yang dituntut, sekali gus mengelakkan polemik ‘kerjasama perpaduan’ seperti di peringkat persekutuan.
Di Johor, BN menang besar dengan majoriti dua pertiga pada PRN 2022 lalu selepas menguasai 40 daripada 56 kerusi DUN, manakala PH sekadar memenangi 12 kerusi termasuk satu milik Amanah di DUN Simpang Jeram. – MalaysiaGazette
















