Muhammad Fawwaz Mohamad Jan.

GEORGE TOWN – Pas Pulau Pinang memandang serius pendedahan melibatkan dakwaan amalan kronisme, nepotisme serta salah guna kuasa dalam pengurusan institusi agama Islam di Pulau Pinang khususnya yang berada di bawah seliaan Timbalan Ketua Menteri (TKM) 1 merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang.

Menurut Ketua Penerangan Pas Negeri Pulau Pinang, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan, isu yang dibangkitkan bukan isu remeh atau bersifat pentadbiran semata-mata sebaliknya melibatkan amanah umat Islam, pengurusan dana zakat dan wakaf bernilai jutaan ringgit serta maruah institusi agama yang sepatutnya dipelihara dengan penuh integriti dan ketelusan.

“Amalan pelantikan individu tertentu berdasarkan hubungan kepentingan, penguasaan melampau dalam membuat keputusan serta kegagalan memastikan tadbir urus yang adil dan telus jelas mencerminkan kepimpinan yang tidak beramanah.

“Keadaan ini bukan sahaja mencemarkan imej Jabatan Agama Islam Pulau Pinang malah menimbulkan keresahan dalam kalangan umat Islam yang mengharapkan institusi agama diurus secara profesional, bebas dan bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, tambah Muhammad Fawwaz,  Pas Pulau Pinang menuntut agar TKM 1 meletakkan jawatan serta-merta daripada semua jawatan yang berkaitan dengan pentadbiran dan kepimpinan institusi agama Islam di negeri ini.

“Tindakan berundur adalah langkah paling wajar bagi memulihkan keyakinan rakyat dan memberi laluan kepada siasatan yang telus tanpa sebarang pengaruh kuasa.

“Institusi agama Islam tidak boleh dijadikan alat kepentingan peribadi atau politik. Amanah umat Islam wajib dipelihara dan sesiapa yang gagal menunaikannya dengan adil dan jujur tidak lagi layak memimpin,” tegasnya.

Pas Pulau Pinang akan terus komited mempertahankan integriti institusi Islam serta memastikan pengurusan agama di negeri ini kembali kepada landasan amanah, keadilan dan ketakwaan, katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:

Beli tanah guna dana zakat: SPRM akan rakam keterangan beberapa individu

Media sebelum ini melaporkan SPRM telah membuka kertas siasatan berhubung salah guna kuasa membabitkan seorang pegawai kanan kerajaan negeri dalam urusan pembelian tanah menggunakan dana zakat.

Menurut sumber, kertas siasatan tersebut dibuka susulan pendedahan yang dilakukan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam persidangan negeri hujung tahun lalu.

“Pasukan siasatan telah hadir ke beberapa buah pejabat yang disyaki terlibat dalam kes ini bagi mendapatkan dokumen-dokumen berkaitan dan kini semuanya dalam kajian.

“Selain itu, SPRM juga telah merakam percakapan dua individu yang dipercayai terlibat dalam kes ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast