KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat kes seorang pelakon lelaki yang mendakwa menjadi mangsa seks luar tabii pengarah drama pada 2005.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya juga sudah merakam keterangan pelakon lelaki yang berusia 35 tahun itu, semalam susulan laporan yang dibuat mangsa.
“Setakat ini belum ada tangkapan dibuat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Media semalam melaporkan polis mengesahkan menerima laporan berhubung dakwaan kejadian seks luar tabii daripada seorang pelakon lelaki terbabit.
Terdahulu, pelakon berkenaan melalui laman Threads mendedahkan pernah melalui detik silam ketika kanak-kanak apabila menjadi mangsa gangguan seksual seorang pengarah drama.
Pelakon yang akhirnya mendedahkan identiti beliau berharap, pihak polis akan menjalankan siasatan yang telus terhadap kes tersebut.
Alqal Sahar yang pernah tampil sebagai pelakon kanak-kanak dalam beberapa drama popular televisyen seperti Dairi Ramadhan Rafique berkata kepada sebuah portal berita, beliau tidak diliwat seperti yang disangka orang ramai.
Sebaliknya menjadi mangsa amang seksual pada ketika itu. -MalaysiaGazette















