Foto: FB Malaysian Football League.

KUALA LUMPUR – Malaysian Football League (MFL) melancarkan kempen Anti Dadah dan Anti Gangsterisme secara menyeluruh melibatkan pertandingan-pertandingan di bawah kelolaan MFL sebagai usaha membendung dan memberi pendidikan kepada komuniti bola sepak.

MFL dalam satu kenyataan memaklumkan, kempen itu bertujuan meningkatkan kesedaran kepada semua pihak khususnya penyokong-penyokong agar tidak terjerumus dengan gejala dadah, keganasan atau gangsterisme.

Ujarnya, anasir-anasir itu sememangnya amat bertentangan dengan semangat kesukanan serta nilai-nilai murni yang ingin diterapkan dalam sukan bola sepak.

“MFL juga akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dan agensi berkaitan bagi memastikan Liga Malaysia terus berkembang dengan persekitaran yang positif, selamat dan berintegriti,” katanya menerusi laman sosial Facebook hari ini.

Sementara itu, MFL turut memaklumkan pihaknya memandang serius sebarang gejala negatif termasuk penyalahgunaan dadah, keganasan serta aktiviti gangsterisme yang boleh menjejaskan imej dan integriti bola sepak tempatan.

Terdahulu, tular beberapa video penyokong Selangor FC berarak dari arah Bandaraya Kuala Terengganu menuju ke Seberang Takir sambil membawa bendera pasukan dan menyalakan suar ketika di berada di Jambatan Angkat Kuala Terengganu, petang kelmarin.

Susulan itu, seramai 33 penyokong bola sepak Selangor direman di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, Terengganu semalam susulan kejadian tersebut atas dakwaan mengganggu ketenteraman awam dan menimbulkan kegusaran di sepanjang laluan di jambatan tersebut.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mereka antara 400 penyokong yang ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu bagi menjalani pemeriksaan saringan air kencing.

Kejadian itu turut mengundang rasa kecewa dan dukacita Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Penaung Selangor FC.

Baginda turut menzahirkan rasa tidak berkenan dengan kegiatan tidak bermoral seperti budaya samseng dan gangsterisme yang kian menular dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan, khususnya yang memakai jersi pasukan Selangor FC. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast