Jabatan Imigresen Malaysia

SEREMBAN – Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sembilan (JIMNS) menyelamatkan seorang pembantu rumah warga Indonesia, disyaki menjadi mangsa eksploitasi, menerusi operasi di sebuah kediaman di Taman Kemayan, Seremban 2, di sini petang semalam.

Pengarah JIMNS Kennith Tan berkata dalam operasi selama dua jam bermula pada 1 tengah hari itu, pihaknya menemukan wanita warga asing berusia 51 tahun sedang bersembunyi di dalam sebuah almari pakaian di bilik utama kediaman berkenaan.

“Siasatan lanjut mendapati mangsa tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah. Mangsa turut berada dalam keadaan trauma akibat penderaan fizikal dan mental.

“Disebabkan itu, mangsa telah diselamatkan dan dibawa ke Pejabat Imigresen Senawang bagi tujuan perlindungan serta membantu siasatan lanjut di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata susulan itu, seorang majikan wanita warga tempatan ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 12 ATIPSOM 2007, manakala dua individu lain dikeluarkan notis saman sebagai saksi untuk hadir memberikan keterangan di Pejabat Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Seremban.

Tan berkata operasi penyelamatan itu dijalankan berpandukan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0 sebagai rujukan bagi pengenalpastian mangsa pemerdagangan orang.

Beliau berkata JIMNS komited membanteras sebarang bentuk eksploitasi dan penderaan dengan orang ramai digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan kepada pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan dan keadilan dapat ditegakkan.- BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast