Anggota bomba memadam kebakaran di Bio Desaru, Tanjung Balau, Kota Tinggi yang berlarutan sehingga hari ini.

JOHOR BAHRU – Operasi pembenihan awan dirancang untuk dilakukan sebagai langkah tambahan bagi meningkatkan kelembapan dan membantu usaha memadam kebakaran yang berlaku di beberapa tempat ketika ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri sudah mengemukakan permohonan rasmi kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi melaksanakan operasi pembenihan awan.

Beliau memberitahu, cuaca panas dan kering berpanjangan tanpa hujan melebihi 25 hari dikenal pasti sebagai punca utama berlaku kebakaran tanah gambut di beberapa lokasi di Johor ketika ini.

“Setakat ini tiga kawasan utama terlibat iaitu Bakri Batu 13 dan 14 di Muar, Bio-Desaru di Tanjung Balau (Kota Tinggi) serta Sungai Linau di Simpang Renggam.

“Walaupun kebakaran di semua lokasi berkenaan masih dalam keadaan terkawal namun api belum dapat dipadam sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan.

Onn Hafiz berkata, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan terlibat dilaporkan juga masih berada pada tahap terkawal.

Menurutnya, lebih 300 anggota daripada pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) terlibat.

Jelasnya, ia termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta agensi berkaitan yang digerakkan bagi menjalankan operasi pemadaman secara berterusan 24 jam sehari.

Onn Hafiz berkata, bagi memastikan tindakan lebih tersusun dan bersepadu, kerajaan negeri telah mengarahkan Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan) merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor untuk mempengerusikan Mesyuarat Taskforce Khas Kebakaran Negeri Johor bersama-sama Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.

“Antara langkah agresif yang dilaksanakan termasuk kaedah total flooding, pembinaan firebreak serta penggunaan pam bertekanan tinggi bagi mengekang perebakan api di bawah permukaan tanah.

“Bekalan air tambahan turut disalurkan melalui pengepaman berterusan dari sumber berhampiran ke sistem parit ladang dan tangki simpanan bagi menyokong operasi pemadaman,” ujarnya.

Tambah Onn Hafiz, sistem pam perparitan diaktifkan sepenuhnya bagi mengurangkan kebergantungan kepada penghantaran air secara ulang-alik manakala pembinaan firebreak dipercepatkan sebagai benteng kawalan di kawasan terjejas.

Semua kos operasi pemadaman ditanggung oleh Tabung Bencana Negeri Johor.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya mengurangkan aktiviti luar sekiranya berlaku asap tebal serta mendapatkan rawatan segera jika mengalami gejala pernafasan.

“Dalam tempoh ini, orang ramai diingatkan agar tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka kerana tindakan tegas boleh diambil mengikut peruntukan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menyebabkan kebakaran.

“Selain itu paras takungan empangan dan kolam tadahan utama negeri masih berada pada tahap terkawal serta mencukupi bagi menampung keperluan harian walaupun berdepan cuaca kering berpanjangan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast