KUALA LUMPUR – Aktivis Chegubard memohon mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkannya membayar ganti rugi RM550,000 kepada ahli perniagaan, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang menyamannya.
Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Chegubard memaklumkan, anak guamnya turut memfailkan permohonan untuk memasukkan pembelaan dalam kes saman berkenaan.
Selain itu, menurut peguam, aktivis berkenaan atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin juga memfailkan permohonan untuk menggantung keputusan yang mengarahkannya membayar ganti rugi tersebut.
“Kami berpendirian, Chegubard tidak pernah menerima writ saman atau pernyataan tuntutan daripada plaintif berkaitan saman fitnah tersebut.
“Chegubard sendiri mengesahkan dalam afidavit sokongan yang diikrarkan bahawa beliau tiada pengetahuan langsung mengenai tarikh bicara mahupun melihat writ saman berkenaan.
“Kami memohon untuk mendapat perbicaraan yang adil dan menyerahkan kepada mahkamah untuk mengetepikan penghakiman tersebut atau sebaliknya,” ujar beliau pada sidang media di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini.
Notis permohonan dijadual difailkan melalui Tetuan Law Practice of Rafique di Pejabat Pendaftaran (Sivil), Mahkamah Tinggi hari ini.

Pada 29 Januari lalu, Pesuruhjaya Kehakiman Arziah Mohamed Apandi mengarahkan Chegubard dan pempengaruh, Norpais Ismail membayar ganti rugi RM300,000 sebagai ganti rugi am, RM150,000 (ganti rugi teruk) dan RM100,000 (ganti rugi teladan) serta kos RM40,000.
Mahkamah memutuskan demikian selepas berpuas hati kenyataan mereka memfitnah Farhash (plaintif) dengan maksud yang merosakkan dan boleh diambil tindakan.
Mahkamah berpendapat, naratif yang dikemukakan oleh defendan pertama (Badrul Hisham) menggambarkan plaintif mencapai kejayaan melalui hubungan politik dan bukannya merit, memanipulasi proses politik untuk kepentingan peribadi.
“Serangan ke atas watak plaintif bertujuan untuk menggambarkan beliau sebagai tidak jujur, tidak beretika dan tidak layak untuk memegang jawatan awam secara amanah.
“Tuduhan ini jelas cenderung untuk merendahkan plaintif dalam kalangan ahli masyarakat, mendedahkannya kepada kebencian, cemuhan dan kutukan sehingga merosakkan reputasi perniagaan, profesional dan peribadinya.
“Kenyataan itu menuduh plaintif melakukan rasuah, kronisme, manipulasi proses demokrasi dan salah guna kuasa yang merupakan antara dakwaan paling serius yang boleh dibuat terhadap seorang tokoh awam dalam masyarakat.
“Walaupun menerima surat tuntutan plaintif pada 12 Mei 2025, defendan tidak mengambil apa-apa langkah untuk mengalih keluar notis itu,” ujarnya.
Tuntutan itu difailkan pada 26 Mei tahun lalu atas dakwaan bahawa defendan pertama telah membuat dan menerbitkan kenyataan berunsur fitnah terhadapnya semasa temu bual yang dijalankan oleh defendan kedua pada 7 Mei tahun lalu yang d imuat naik ke akaun YouTube defendan kedua. – MalaysiaGazette















