JOHOR BAHRU – Senior Asisten Komisioner Hoo Chuan Huat dilantik sebagai Pemangku Timbalan Ketua Polis Johor yang baharu berkuasa kuasa hari ini.
Beliau menggantikan Deputi Komisioner Abdul Latif Minhad yang bersara wajib.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsat mengucapkan tahniah kepada Hoo yang diberi kepercayaan untuk memangku jawatan berkenaan.
Beliau berkata, pelantikan itu merupakan amanah besar dan kepercayaan tinggi sejajar dengan pengalaman, rekod perkhidmatan serta kewibawaan dalam kepimpinan dan pengurusan organisasi.
Pihaknya yakin dengan pendekatan kepimpinan yang berintegriti, inklusif dan berpaksikan professionalisme, Hoo mampu meneruskan kesinambungan kecemerlangan serta memperkukuh pasukan polis Kontinjen Johor.
“Seperti kata pepatah kepimpinan bukan memberi arahan tetapi berkaitan teladan. Saya percaya seluruh anggota polis Johor berdiri teguh di belakang kepimpinan tuan dan bersedia memberi kerjasama sepenuhnya demi memastikan keselamatan serta kesejahteraan rakyat dan negeri terus terpelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negeri Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya juga inginmerakamkan penghargaan atas segala jasa, bakti dan sumbangan Abdul Latif sepanjang memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Polis Johor.
Sepanjang tempoh perkhidmatan, katanya, beliau memperlihatkan kepimpinan yang tegas namun berhemah, berprinsip namun berjiwa rakyat.
“Pengalaman luas, kebijaksanaan dalam membuat keputusan serta komitmen yang tidak berbelah bahagi telah banyak menyumbang kepada kestabilan keselamatan dan keharmonian negeri,” katanya. – MalaysiaGazette
















