JOHOR BAHRU – Permohonan penduduk tentang status Tanah Rizab Melayu (TRM) Kampung Melayu Majidee di sini ditukar daripada hak milik pajakan kepada hak milik kekal boleh dilakukan berdasarkan inisiatif dan budi bicara kerajaan Johor.
Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dzulkefly Ahmad berkata, ini berasaskan kepada naratif atau alasan kukuh terhadap tuntutan yang dibuat oleh mereka berlandaskan syarat serta undang-undang sedia ada.
Bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar Johor itu mendakwa, tuntutan yang sama pernah berlaku di Negeri Sembilan dan kerajaan negerinya sudah melaksana dan merealisasikannya bermula 2019 sehingga sekarang.
Justeru, beliau mempersoalkan alasan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Hairi Mad Shah dalam kenyataannya kelmarin, bahawa permohonan menukar status TRM itu tidak termasuk dalam Seksyen 76(aa)(iii) Kanun Tanah Negara (KTN) iaitu tidak boleh ditukar statusnya.
“(Hairi memberi alasan) hak milik pajakan kepada hak milik kekal tidak termasuk dalam maksud Keadaan-Keadaan Khas (special circumstances) seperti yang dinyatakan di bawah Seksyen 76(aa)(iii) KTN.
“Saya nasihatkan beliau supaya membaca dengan teliti Pekeliling Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (KPTGP) bilangan 1/2018 dan Pekeliling KPTGP Bil. 1/2009.
“Perkara 2(h) Pekeliling KPTGP Bil.1/2018 menyatakan Pemberimilikan tanah kerajaan untuk tempoh selama-lamanya boleh diberi bagi projek di bawah kerajaan negeri yang telah diputuskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) dari masa kesemasa secara case to case basis.
“Perenggan 6 Pekeliling KPTGP Bil. 1/2009 juga menyatakan perkara yang sama, Mesyuarat MTN Ke-64 juga menetapkan sekiranya pemberimilikan untuk pegangan selama-lama dalam keadaan-keadaan khas yang tertentu adalah diperlukan, maka kerajaan negeri adalah dinasihati supaya merujuk kepada MTN untuk mendapatkan persetujuan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kaedah tersebut dilaksanakan Kerajaan Negeri Sembilan apabila Majlis Tanah Negara (MTN) Ke-75 pada 2 Ogos 2019 bersetuju dengan keputusan MMK Negeri Sembilan pada 12 dan 19 Jun 2019
Jelasnya, diputuskan bahawa inisiatif pertukaran tanah kediaman daripada hak milik pajakan kepada hak milik kekal adalah termasuk dalam definasi atau tafsiran Keadaan-Keadaan Khas di bawah Seksyen 76(aa)(iii) KTN.
“Keterangan di atas menunjukkan bahawa kerajaan negeri mempunyai budi bicara sepenuhnya untuk meluluskan penukaran status hak milik pajakan kepada hak milik kekal.
“YB Hairi juga dalam kenyataannya menyatakan apabila status bertukar kekal (freehold) dan nilai hartanah meningkat, wujud kecenderungan pemilik menjual tanahnya kerana tawaran harga yang tinggi,” katanya.
Dzulkefly berkata, bagi mengelakkan tuan tanah menjual tanah mereka selepas memperolehi status hak milik kekal, kerajaan Johor boleh laksanakan seperti Kerajaan Negeri Sembilan dengan mengenakan moratorium iaitu sekatan jual beli dalam masa 10 tahun.
Selepas tempoh 10 tahun tersebut ujarnya, jika tanah tersebut hendak dijual, hanya boleh dijual kepada orang Melayu kerana statusnya masih TRM.
“YB Hairi juga menyatakan bahawa Kampung Melayu Majidee sedang diberi perhatian melalui Kajian Rancangan Kawasan Khas (RKK) Kampung Tradisi Bandaraya Johor Bahru.
“Pada pandangan saya RKK tidak ada kaitan dengan pegangan hak milik TRM di Kampung Melayu Majidee sama ada hak milik pajakan atau hak milik lekal.
“Memang menjadi tanggungjawab mana-mana kerajaan untuk meningkatkan kualiti hidup rakyatnya, memperkasakan ekonomi tempatan serta menyediakan infrastruktur asas yang mencukupi,” ujarnya.
Tambahnya, kerajaan Johor tidak akan mengalami sebarang kerugian jika meluluskan penukaran status TRM berkenaan kerana tuan tanah masih perlu membayar premium tanah kepada kerajaan Johor kerana proses penukaran status itu.
Kerajaan melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) juga katanya, akan mendapat manfaat menerusi cukai pintu atau kadaran yang dikutip PBT sekali gus meningkat kerana penentuan cukai pintu di Johor adalah berdasarkan kepada nilai tambah (improved value) atau nilai pasaran semasa hartanah tersebut.
Apabila status hak milik bertukar, maka nilai pasaran hartanah tersebut juga akan meningkat, katanya.
“Tuan tanah di samping memperolehi jaminan pemilikan selama-lamanya ke atas hartanah mereka bagi diwariskan secara turun temurun, tuan tanah juga boleh memperolehi jumlah pinjaman yang lebih tinggi (loan to value-LTV) bila mana membuat pinjaman daripada pihak bank bagi apa juga maksud.
“Jika ditakdirkan berlaku kes pengambilan balik tanah (land acquisition) melalui Akta Pengambilan Tanah 1960, maka tuan tanah boleh mendapatkan jumlah pampasan yang lebih tinggi kerana tanahnya adalah berstatus hak milik kekal bukannya lagi hak milik pajakan.
“Jika hak milik masih berstatus pajakan, katakan berbaki 20 tahun sudah tentu jumlah pampasan yang akan diperolehi adalah jauh lebih rendah. Keadaan ini akan merugikan tuan tanah,” katanya lagi.
Beliau menafikan kenyataannya sebelum ini bertujuan menghasut sebaliknya hanya mahu membela nasib rakyat.
Kelmarin Hairi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor dilaporkan menyifatkan kenyataan
Dzulkefly sebagai mengelirukan dan cuba menghasut apabila menyatakan pertukaran status tanah itu boleh dilakukan.
Menuru Hairi, di bawah Kanun Tanah Negara, khususnya Seksyen 76(aa), pemberimilikan tanah secara pegangan kekal kepada individu hanya boleh dipertimbangkan dalam keadaan khas yang diperincikan melalui ketetapan MTN.
Ujar Hairi, berdasarkan penelitian rekod sejarah, tanah di Kampung Melayu Majidee dikurniakan sebagai pegangan pajakan sejak penubuhannya pada tahun 1951.
Status itu katanya, tidak termasuk dalam kategori keadaan khas yang membolehkan pertukaran kepada pegangan kekal.
“Ini bukan soal tidak mahu, tetapi soal terikat dengan peruntukan undang-undang. Ini memberi gambaran seolah-olah isu ini boleh diselesaikan hanya dengan satu keputusan politik, tanpa menjelaskan implikasi undang-undang, dasar tanah negara dan risiko pasaran, adalah tidak adil kepada penduduk serta tidak jujur dari sudut tadbir urus,” katanya.
Pada 20 April lalu, media melaporkan bahawa lebih 40,000 penduduk kampung itu terus hidup dalam dilema apabila permohonan mereka untuk menukar status tanah kediaman daripada TRM berstatus pajakan 99 tahun kepada hak milik kekal masih belum menerima sebarang maklum balas daripada kerajaan negeri.
Tempoh pajakan TRM kampung berkenaan dijadual berakhir pada 2053, iaitu 28 tahun lagi, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk terhadap masa depan mereka, termasuk kemungkinan kampung tersebut dibangunkan secara komersial.
Kampung Melayu Majidee merupakan penempatan Melayu kedua terbesar selepas Kampung Baru, Kuala Lumpur, dan terletak di lokasi strategik di tengah-tengah bandar raya Johor Bahru dengan keluasan kira-kira 730 hektar.
Pada 26 Januari lalu pula, Dzulkefly mendakwa, kerajaan Johor sebenarnya mempunyai budi bicara sepenuhnya untuk meluluskan permohonan status TRM oleh penduduknya seperti yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Sembilan.- MalaysiaGazette
















