KUALA LUMPUR – Kajian pelaksanaan pilihan raya Datuk Bandar di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) wajar diperluaskan ke bandar-bandar utama lain di seluruh negara.
Pengerusi DAP Bandar Baru Bangi, Farhan Haziq Mohamed berkata, pelaksanaan tersebut dapat meningkatkan akauntabiliti, ketelusan serta penglibatan rakyat dalam pentadbiran kerajaan tempatan.
Katanya, berdasarkan pengalaman beliau sebagai peguam selama 10 tahun serta lapan tahun sebagai Ahli Majlis di Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan kini Majlis Perbandaraan Kajang (MPKj), sistem lantikan Datuk Bandar dan Yang Dipertua (YDP) ketika ini menyebabkan rakyat kurang mengenali pemimpin kerajaan tempatan di kawasan masing-masing.
“Apabila turun padang, soalan yang sering ditanya ialah siapa Datuk Bandar dan siapa YDP. Jika bancian dibuat, saya percaya ramai penduduk langsung tidak mengenali mereka kerana lantikan dibuat oleh lerajaan negeri dan persekutuan, malah adakalanya berlaku tanpa pengetahuan rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, peranan Datuk Bandar dan YDP amat signifikan kerana mereka mengetuai pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mengurus peruntukan kewangan besar, antaranya DBKL sebanyak RM2.8 bilion, Majlis Bandaraya Shah Alam (RM600 juta), MBPJ (RM512 juta) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (RM364 juta).
“Jumlah peruntukan PBT ini sahaja melebihi belanjawan beberapa negeri seperti Perlis, Melaka dan Negeri Sembilan. Dengan tanggungjawab sebesar ini, rakyat berhak memilih pemimpin mereka sendiri bagi memastikan akauntabiliti,” katanya.
Tambah beliau, pilihan raya Datuk Bandar akan memberi peluang kepada rakyat menilai dan memilih kepimpinan setiap empat atau lima tahun serta memastikan Datuk Bandar bertanggungjawab terhadap dasar, pembangunan infrastruktur dan isu perbandaran.
Mengulas dakwaan Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) bahawa pilihan raya Datuk Bandar tidak mempunyai keperluan perlembagaan, Farhan Haziq menyifatkannya sebagai tidak tepat.
“Ini bukan isu perlembagaan, sebaliknya soal kesungguhan kerajaan mereformasikan sistem demokrasi.
“Jika pilihan raya negeri dan Persekutuan boleh diadakan, tiada sebab ia tidak boleh dilaksanakan di peringkat kerajaan tempatan,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa, pilihan raya kerajaan tempatan pernah dilaksanakan sekitar tahun 1951 hingga 1952 di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, termasuk penyertaan gabungan awal UMNO-MCA.
Dalam pada itu, beliau menolak dakwaan bahawa pilihan raya Datuk Bandar akan membuka ruang kepada pengaruh kartel atau gengster, sambil menegaskan risiko sedemikian juga wujud dalam pilihan raya negeri dan Persekutuan namun, tidak dijadikan alasan untuk memansuhkannya.
“Itu hujah dangkal dan tidak berasas. Risiko harus diurus melalui proses demokrasi, akauntabiliti dan pengawasan, bukannya menolak pilihan raya secara total,” tegasnya.
Farhan Haziq turut mencadangkan agar kajian pilihan raya Datuk Bandar dimulakan di bandar-bandar utama terlebih dahulu, manakala kawasan lain boleh meneruskan sistem sedia ada.
Beliau juga menggesa Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersama Menteri Wilayah Persekutuan supaya memperluaskan kajian tersebut ke semua Majlis Bandaraya dan membentangkan dapatan kepada Jemaah Menteri.
“Keputusan ini penting supaya pelaksanaan pilihan raya Datuk Bandar dibuat secara menyeluruh dan menjadi sebahagian usaha Kerajaan Madani memperkukuh pendemokrasian serta akauntabiliti kerajaan tempatan,” katanya. – MalaysiaGazette
















