ISKANDAR PUTERI – Polis menahan dua tokan yang aktif mengedar dadah di sekitar kawasan Gelang Patah dekat sini selepas menyerbu sebuah rumah pada 19 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri melakukan serbuan tersebut di Gelang Patah pada pukul 5 petang.
Menurut beliau, hasil serbuan tersebut membawa kepada penahanan dua suspek lelaki tempatan yang masing-masing berumur 35 tahun.
“Pemeriksaan lanjut di lokasi menemukan sebanyak 13 paket plastik mengandungi dadah disyaki jenis heroin dan syabu.
“Jumlah rampasan melibatkan 1,555.51 gram heroin dan 8.49 gram syabu dengan nilai keseluruhan dianggarkan sebanyak RM16,683,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu katanya, polis menyita sebuah kereta dan sebuah motosikal bernilai berjumlah RM52,000, menjadikan jumlah keseluruhan nilai rampasan dadah dan sitaan sebanyak RM68,683.
Kumarasan berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis morphine.
“Semakan rekod lampau juga mendapati kedua-dua mereka mempunyai pelbagai rekod jenayah dan kesalahan berkaitan dadah,” ujarnya.
Pihaknya menyeru orang ramai agar terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah.
Tambahnya, sebarang maklumat boleh disalurkan melalui hotline JSJN talian 07-511 3622 atau 07-511 4486.- MalaysiaGazette
















