KUALA LUMPUR – Kerajaan menerima semula ganti rugi beserta faedah melebihi RM4.7 juta yang dipulangkan oleh keluarga Altantuya Shaariibuu ekoran keputusan Mahkamah Rayuan yang mendapati ia tidak menanggung liabiliti di atas kematian model Mongolia itu hampir 20 tahun lalu.
Peguam keluarga itu, Sangeet Kaur Deo dalam kenyataan hari ini berkata, keseluruhan jumlah tersebut dipulangkan semalam.
“Keseluruhan jumlah yang dibayar sebelum ini di bawah perintah penangguhan bersyarat Mahkamah Tinggi Shah Alam, termasuk jumlah penghakiman dan semua faedah terkumpul telah dipulangkan sepenuhnya kepada kerajaan.
“Jumlah berkenaan tidak disentuh dan kekal dalam akaun pemegang amanah firma guamannya sejak diterima, selaras dengan perintah mahkamah,” menurut kenyataan itu.

Foto Arkib MalaysiaGazette
Sangeet turut memaklumkan bahawa prosedur yang sama turut terpakai kepada penganalisis politik, Abdul Razak Baginda.
Pada 20 Januari lalu, Mahkamah Rayuan mengurangkan ganti rugi daripada RM5 juta kepada RM1.41 juta yang perlu dibayar oleh Abdul Razak kepada keluarga Altantuya.
Selepas menyemak jumlah kuantum, mahkamah memberikan ganti rugi teruk RM1 juta, tuntutan tanggungan RM384,000, perbelanjaan kematian RM10,000 dan perbelanjaan pengebumian RM15,000 kepada keluarga tersebut.
Kerajaan bagaimanapun terlepas daripada menanggung liabiliti kematian model berkenaan selepas panel itu membenarkan rayuannya terhadap liabiliti dan kuantum.
Oleh kerana ganti rugi itu RM5 juta itu telah dimasukkan ke dalam akaun pemegang amanah firma guaman tersebut, keluarga model tersebut perlu memulangkan bakinya kepada kerajaan.
Perintah taksiran ganti rugi pada 2025 itu menyatakan bahawa jika rayuan kerajaan dibenarkan, wang itu mesti dipulangkan dalam tempoh 30 hari dari tarikh penghakiman Mahkamah Rayuan.
Bulan lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa kerajaan tidak bertanggungjawab secara vikarius terhadap pembunuhan Altantuya.
Namun, panel berkenaan berpuas hati, Abdul Razak dan dua bekas pegawai dan anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar, dipertanggungjawabkan terhadap kematiannnya. – MalaysiaGazette















