KOTA TINGGI – Operasi mencari dan menyelamat seorang nelayan tempatan yang dilaporkan hilang selepas bot dinaiki dilanggar bot lain sebelum karam pada 1 Februari lalu ditangguhkan bermula hari ini.
Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata, ia susulan penemuan satu mayat oleh pihak berkuasa Singapura di perairan republik berkenaan yang dipercayai adalah mangsa terbabit.
“Operasi yang dikoordinasi oleh Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru ditangguhkan sehingga sementara proses pengecaman mayat oleh pihak waris selesai.
“Keputusan penangguhan dibuat bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa melaksanakan siasatan lanjut dan proses pengecaman,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Terdahulu, MRSC Johor Bahru mengaktifkan operasi terbabit selepas menerima laporan kehilangan Mustaffa Hussain, 51, selepas bot gentian kaca yang dinaikinya terbabit dalam insiden pelanggaran di perairan Pengerang.
Menurut Mohd Najib, sehingga semalam, pencarian telah meliputi kawasan melebihi 60 batu nautika persegi dengan pembabitan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Majlis Perbandaran Pengerang (MPP), Pejabat Penghulu, Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Pengerang serta bantuan orang awam.
“Operasi akan disambung semula sekiranya proses pengecaman mengesahkan mayat berkenaan bukan mangsa yang dilaporkan hilang,” jelasnya.
Isnin lalu, portal ini melaporkan seorang nelayan dikhuatiri lemas, manakala pekerjanya terselamat selepas bot dinaiki mereka disyaki dilanggar bot lain sebelum terbalik dalam kejadian di Perairan Pengerang di sini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan dibuat seorang wanita tempatan yang memaklumkan sebuah bot nelayan dinaiki suaminya bersama pekerja terbalik.
Siasatan awal mendapati bot nelayan jenis fiber yang dinaiki seorang lelaki warga tempatan berusia 55 tahun bersama pekerjanya iaitu lelaki warga asing berusia 32 tahun dilanggar sebuah bot lain yang tidak dikenal pasti pemiliknya.
Bot dinaiki dua nelayan itu kemudian terbalik, sebelum lelaki warga asing dijumpai ketika berpaut pada kayu bot dalam keadaan selamat oleh PPM Wilayah Dua Pengerang, manakala seorang lagi tidak diemui.- MalaysiaGazette
















