JOHOR BAHRU – Pemandu e-hailing yang disyaki terlibat dengan gangguan seksual seorang penumpang wanita hingga videonya tular dalam media sosial sudah ditahan bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arshad berkata, lelaki tempatan berusia 26 tahun itu ditahan semalam di sekitar bandar raya ini bagi membantu siasatan.
“Kita menerima laporan polis daripada seorang wanita warga Vietnam semalam berhubung kejadian cabul kehormatan yang didakwa berlaku dalam kenderaan e-hailing yang dinaiki mangsa.
“Rakaman video berkaitan kejadian itu dikesan tular di platform media sosial sejak 2 Februari lalu, sebelum mangsa tampil membuat laporan polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihaknya turut merampas dua unit telefon bimbit serta sebuah kenderaan Perodua Bezza berserta kunci dan alat kawalan jauh daripada suspek.
Katanya, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi permohonan reman dan mahkamah membenarkan perintah reman selama tiga bermula hari ini sehingga Sabtu ini.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana melakukan serangan atau menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan seseorang.
Jika disabitkan kesalahan katanya, suspek boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.
Terdahulu, polis sedang mengenal pasti pemandu e-hailing yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadap seorang penumpang wanita di sini susulan satu video yang tular sejak Ahad lalu.
Video tular berkenaan dipercayai dirakam oleh penumpang wanita terbabit sehingga latar belakang pemandu itu tular dalam media sosial.
Susulan insiden itu, Kementerian Pengangkutan telah mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membatalkan Lesen Perkhidmatan Kenderaan Awam (PSV) pemandu itu selain tidak membenarkannya berkhidmat di semua platform e-hailing serta merta.- MalaysiaGazette
















