Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Tuduhan bahawa Pas yang berprinsipkan Islam akan menghapuskan bangsa, terkeluar daripada hakikat yang sebenar.

Sebaliknya, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa, penghapusan bangsa sebenarnya teori Malaysian Malaysia yang dibawa oleh DAP.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, DAP mahu menghilangkan rupa bangsa dalam masyarakat majmuk di Malaysia, sehingga tidak ada lagi Melayu, tetapi hanya bangsa Cina kerana tidak dapat menghapuskan semangat kecinaan mereka.

Tambahnya, Allah SWT menetapkan antara fitrah manusia ialah bermasyarakat madani yang mewajibkan kepelbagaian, maka manusia harus saling menjalin hubungan antara satu sama lain.

Jelasnya, keadaan itu disebabkan oleh tahap ilmu, pemikiran, kebolehan, kemahiran dan kemampuan, serta hasil bumi yang berlainan daripada setiap daerah dan wilayah, serta wujudnya budaya dan bahasa yang berbeza.

“(Ini) sekali gus menunjukkan mereka yang pandai mewiridkan perkataan madani yang menjadi slogan negara itu, laksana burung kakak tua yang pandai menyebut perkataan tanpa mengetahui maksud dan maknanya,” katanya menerusi catatan Minda Presiden Pas bertajuk `Hapusnya Bangsa Teori Luar Tabii’ hari ini.

Sementara itu, beliau menambah, teori hilangnya bangsa dan bahasa adalah suatu perkara luar tabii yang menjadi fenomena dunia terkini yang ingin mengubah ciptaan Allah SWT, sehingga mencabar kekuasaan-Nya.

Ujarnya, mereka bukan sahaja mencipta teori kemasyarakatan, politik, ekonomi dan sebagainya, bahkan melahirkan berbagai-bagai ideologi yang menjadi alternatif kepada agama.

Ia termasuklah ingin mengubah dalaman diri manusia sendiri sehingga mahu menghapuskan adanya jantina lelaki dan perempuan.

“Maka, lahirlah kumpulan LGBT yang menyamakan hak asasi manusia dengan hak asasi binatang dan sebagainya.

“Perbuatan ini menjadi salah satu tanda kiamat yang memusnahkan alam,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast