KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim angkuh apabila membuat kenyataan berkenaan `tahan dan humban’ dalam merujuk kepada peserta demonstrasi yang cuba mengganggu-gugat keamanan negara.
Sedangkan, menurut beliau, negara ini mempunyai undang-undang dan Perlembagaan, turut mempertahankan hak rakyat untuk bersuara.
Tambahnya, rakyat juga berhak mengkritik kerajaan dan tindakan tunjuk perasaan atau protes jalanan dibolehkan selagi dilakukan dengan tertib serta tidak mencetuskan huru-hara.
“Takkan Anwar tidak ingat zaman reformasi dulu, apa yang beliau tidak buat untuk jatuhkan kerajaan Tun M (Dr. Mahathir Mohamad).
“Bukan setakat demonstrasi, malah merusuh memanjang (sentiasa).
“Apabila Ratu Elizabeth datang ke negara ini semasa Sukan Komanwel 1998, Anwar arah geng reformasinya untuk merusuh, nak tunjuk kepada tetamu diraja itu bahawa kononnya kerajaan ketika itu perasuah dan zalim,” katanya menerusi video yang dimuat naik di laman sosial Facebooknya hari ini.
Menurut Mukhriz, perkara sebaliknya berlaku hari ini iaitu ketika Malaysia menerima kunjungan pemimpin antarabangsa seperti Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Perdana Menteri India, Narendra Modi.
Ujarnya, pelbagai sekatan dibuat bagi menafikan hak rakyat bersuara termasuk permit himpunan dibatalkan; lokasi berhimpun ditukar pada saat-saat akhir; jalan raya ditutup dan peserta himpunan ditangkap.
“Anwar dan Kerajaan Madani memang cakap tak serupa bikin, kononnya jadi pelopor demokrasi, tapi sebenarnya menafikan hak rakyat.
“Kerajaan dulu dituduh autokratik, walhal Anwar sendiri mentadbir dengan kuku besi,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan amaran Anwar yang mana pihak berkuasa akan mengambil tindakan maksimum kepada mana-mana pihak yang mengganggu gugat keselamatan, ketika negara menerima kunjungan Modi.
Amaran itu merujuk kepada himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) yang dirancang bagi menyuarakan kebimbangan terhadap isu pembinaan rumah ibadat haram yang dilihat semakin berleluasa di seluruh negara.
Perhimpunan itu yang tetap berlangsung berhampiran pusat beli-belah Sogo di sini, menyaksikan seramai 19 individu termasuk penyelaras GARAH, Zamri Vinoth dan Pengasas TanahMalaya.com, Tamim Dahari Abdul Razak ditahan polis bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette
















