JOHOR BAHRU – Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan menambah 2,000 unit kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar bandar raya ini dalam masa terdekat.
Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Haffiz Ahmad berkata, pemasangan tersebut akan dilakukan secara berperingkat-peringkat di kawasan stategik dan bersesuaian bagi tujuan keselamatan.
“Pada masa ini bandar raya ini sudah dilengkapi 500 unit CCTV dan pemasangan baharu itu akan menjadikan 2,500 unit CCTV.
“Pemasangan CCTV ini seiring dengan pembangunan di bandar raya ini demi meningkatkan serta memperkukuhkan tahap keselamatan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Keindahan dan Keceriaan LA21 di Taman Permainan Kanak-Kanak Jalan Melati, Kampung Dato’ Sulaiman Menteri di sini kelmarin.
Katanya, MBJB juga menetapkan pemasangan tiga unit CCTV di premis perniagaan sebagai satu syarat tambahan pelesenan.
Syarat terbabit ujarnya, membabitkan premis perniagaan yang berada di tingkat bawah dalam kawasan pentadbiran MBJB.
Bagi pembaharuan lesen tahunan pula kata Mohd Haffiz, setiap pemilik premis dikehendaki mengemukakan bukti pemasangan CCTV manakala permohonan lesen baharu pula perlu mematuhi syarat pemasangan dalam tempoh yang ditetapkan.
“Langkah berkenaan ke arah mewujudkan persekitaran bandar yang lebih mampan selain memastikan kesejahteraan warga bandar raya,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, Taman Kanak-Kanak dijenamakan semula sebagai Pocket Park Kampung Dato’ Suleiman Menteri (KDSM) kerana fungsi dan komponen yang disediakan tidak terhad kepada aktiviti permainan kanak-kanak sahaja, sebaliknya bersifat inklusif serta pelbagai guna untuk manfaat komuniti setempat.
Antara komponen utama yang disediakan perpustakaan mini, taman permainan bersepadu menggabungkan elemen permainan moden dan tradisional, wakaf moden yang berfungsi sebagai ruang kanak-kanak membaca serta menjalankan aktiviti pembelajaran, katanya.
Selain itu kata beliau, kawasan itu turut dilengkapi dengan laluan khas untuk orang kurang upayu (OKU) penglihatan.
“Pocket Park KDSM juga menjadi lokasi pelaksanaan aktiviti dan program membaca yang memberi penekanan kepada kemahiran pendidikan asas 3M, iaitu membaca, mengira dan menulis, sekali gus menyokong pembangunan literasi awal kanak-kanak dalam persekitaran komuniti yang kondusif.
“Sehubungan itu, penamaan Pocket Park KDSM adalah lebih tepat dan mencerminkan fungsi sebenar kawasan ini sebagai ruang awam komuniti yang inklusif, berorientasikan pembelajaran dan rekreasi,” katanya.- MalaysiaGazette
















