JOHOR BAHRU – Hanya kerana hilang sepasang selipar dan dituduh mencuri, seorang remaja dibuli sekumpulan empat remaja lain di Jalan Mewah, Kampung Melayu Majidee di sini Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, selipar berkenaan dikatakan milik seorang daripada kumpulan remaja berkenaan.
Menurutnya, remaja tersebut yang bekerja sebagai pembantu gerai minuman berusia 13 tahun dituduh mencuri selipar itu selepas ditemui semula di kaki lima rumah mangsa.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek terhadap mangsa iaitu kanak-kanak warga tempatan berusia 13 tahun kerana didakwa mencuri selipar salah seorang suspek.
“Susulan kejadian video tular, pengadu yang berusia 28 tahun membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut dan polis menahan keempat-empat remaja berusia 14 hingga 15 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, reman ke atas kesemua suspek yang tidak bersekolah itu telah dipohon dan mahkamah membenarkan suspek direman selama empat hari bermula 8 hingga 11 Februari ini.
Jelasnya, polis turut merampas seutas tali nilon, penyembur racun serangga dan pemetik api bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
“Hasil semakan rekod mendapati kesemua suspek tidak memiliki rekod jenayah lampau,” tambah Raub.
Katanya, kertas siasatan suah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Johor namun masih terdapat beberapa arahan perlu dilengkapkan untuk pertuduhan.
Permohonan reman ke atas semua suspek akan dilakukan esok di Mahkamah Majistret Johor Bahru, katanya.
Terdahulu, Sabtu lalu, media melaporkan kes tular berkaitan satu rakaman video televisyen litar tertutup kejadian buli melibatkan beberapa kanak-kanak yang disyaki berlaku di kawasan kediaman di Jalan Mewah, Kampung Melayu Majidee di sini pukul 12.39 tengah malam.
Menerusi video CCTV berdurasi 23 saat yang tular itu menunjukkan kejadian berlaku melibatkan sekurang-kurangnya empat kanak-kanak membuli mangsa yang disyaki juga kanak-kanak lelaki.
Kelihatan pantulan cahaya api dipercayai disembur menggunakan alat penyembur nyamuk oleh seorang suspek ke arah mangsa yang terbaring dalam keadaan tangan terikat dan mulutnya dilekat pita pelekat.
Tidak lama kemudian, tiga daripada mereka mendekati mangsa yang terbaring sebelum mengangkat mangsa dalam keadaan lemah.
Sementara seorang kanak-kanak bertindak sebagai pemantau atau cover line semasa kejadian. – MalaysiaGazette
















