Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Tan Sri Abdu Hadi Awang hari ini mendedahkan punca terjadinya krisis politik di Perlis, akhir tahun lalu.

Dalam sepucuk surat terbuka kepada ahli-ahli Pas Perlis, Hadi mendedahkan terdapat sebilangan pemimpin Pas Kawasan di negeri itu menunjukkan akhlak yang tidak baik antaranya menonjolkan diri masing-masing paling layak memegang jawatan tetapi tidak dilantik.

Sifat tersebut menurut beliau, disebutkan oleh Rasulullah SAW sebagai tidak layak diberi jawatan.

Selain itu, terdapat laporan berlakunya lobi-melobi yang tidak berakhlak dalam mesyuarat agung sebagai tindakan merosakkan dalaman Pas dan menjatuhkan Kerajaan Negeri.

Pemimpin Pas Perlis juga katanya, tidak menghormati hak Pesuruhjaya dalam bertindak menyelesaikan masalah dan menentukan keputusan secara syura yang diberikan oleh al-Quran.

Katanya, kesemua maklumat itu diperolehi ketika Pas Pusat melakukan tabayyun terhadap aduan salah laku akhlak dan pentadbiran dari Perlis sejak awal menerima aduan selepas baharu sahaja mendapat kemenangan.

Menurut beliau, beberapa orang daripada Pas Pusat dihantar ke Perlis bagi melakukan tabayyun dan para pemimpin PAS Kawasan dijemput datang untuk mendengar pengaduan secara berdepan serta siasatan yang lain.

Tambahnya, pemimpin-pemimpin Pas Kawasan juga tidak pernah mengemukakan saksi yang adil bagi menyokong tuduhan berkaitan akhlak.

Ia hanyalah cerita yang dicipta dan akhirnya diketahui punca, kata Hadi.

“Kesimpulannya bahawa kepercayaan kami kepada Pesuruhjaya PAS yang dilantik sangat tinggi.

“Apa yang berlaku ialah tidak wala’ kepada Parti dan tidak taat kepada pemimpin yang dilantik oleh Pimpinan PAS Pusat tanpa alasan yang sebenar,” katanya lagi.

Menurut Hadi, hasil tabayyun itu juga mendapati pemimpin Pas kawasan tidak memahami kelemahan peringkat Kerajaan baharu yang dapat diselesaikan mengikut proses pentadbiran yang dapat dibetulkan serta ada masalah bidang kuasa Kerajaan Negeri yang terbatas.

Mereka juga tidak beristiqamah menghadapi tekanan pihak luar dan tidak mempertahankan perjuangan parti.

Mereka juga sanggup melaksanakan langkah daripada luar jemaah yang bercanggah dengan perjuangan parti yang menentang salah laku dan penyelewengan yang mahu merosakkan Kerajaan Negeri.

“(Ini) Berakhir dengan menyokong tindakan khianat menjatuhkan Kerajaan PAS sehingga diberi kepada pihak yang lain, kawan yang tidak bersetia kawan.

“Kesimpulannya bahawa kepercayaan kami kepada Pesuruhjaya PAS yang dilantik sangat tinggi,” katanya lagi.

Menurut Hadi, Pas Pusat telah memilih Pesuruhjaya Pas Perlis daripada kalangan ahli Majlis Syura ‘Ulamak yang merupakan jawatan yang paling bersih dalam Pas.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak untuk melakukan muhasabah diri.

“Sila lakukan muhasabah diri sendiri dengan adil, betapa pentingnya untuk menjaga perpaduan dalam jemaah, memastikan pergerakan jemaah tidak terhenti dan musuh gagal mengambil kesempatan.

“Perjuangan harus tetap bergerak, kerana dalam jemaah adanya ramai ahli yang terus melaksanakan kewajipan tanpa memikirkan jawatan dan habuan, hanya ikhlas kerana Allah,” ujarnya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast