KUALA LUMPUR – Seorang pembantu kedai warga Indonesia dicekup selepas disyaki terlibat dalam aktiviti curi bateri kereta di kawasan Dato Senu, Sentul, 6 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari, berkata pihaknya menerima 17 laporan sejak Oktober 2025 daripada mangsa berlainan yang menjadi sasaran sindiket terbabit.
“Suspek kini ditahan reman sehingga 21 Februari 2026 dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
“Tangkapan itu berjaya membantu menyelesaikan beberapa kes curi bateri kereta di kawasan Dato Senu, dengan bateri dicuri kemudiannya dijual semula pada harga antara RM30 hingga RM50 seunit, “ katanya dalam kenyataan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah berkenaan digesa menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di 03-2115 9999 atau balai polis berhampiran bagi membanteras kegiatan jenayah daripada terus berleluasa. – MalaysiaGazette















