Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR — Kerajaan didesak memberi penjelasan rasmi berhubung dakwaan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang didakwa tidak mematuhi peraturan had pemilikan ekuiti oleh penjawat awam.

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, penjelasan rasmi itu penting bagi memastikan pematuhan peraturan perkhidmatan awam serta menjaga integriti institusi penguat kuasa negara.

Tegasnya, perkara itu perlu juga ditangani secara terbuka oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) susulan laporan media mengenai pegangan saham Azam dalam syarikat tersenarai.

“Azam Baki dilaporkan berkata kepada New Straits Times bahawa beliau sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap laporan media yang mempersoalkan pembelian dan pemilikan saham beliau yang didakwa bernilai lebih daripada RM100,000, dengan menyifatkan laporan tersebut sebagai berniat jahat, mengelirukan dan bersifat fitnah.

“Ini adalah hak undang-undang Azam Baki untuk mengambil tindakan peribadi berhubung transaksi saham beliau tahun lalu, di mana beliau memiliki 17.7 juta saham (1.7%) dalam Velocity Capital Partner Berhad,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Bagaimanapun, Guan Eng menegaskan isu tersebut melibatkan kepentingan awam dan memerlukan penjelasan jelas mengenai pematuhan pekeliling perkhidmatan awam.

“Kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlu menyatakan secara terbuka sama ada Azam Baki telah melanggar Pekeliling Pengurusan Tatatertib dan Kelakuan Pegawai Awam 2024 yang melarang penjawat awam membeli saham melebihi lima peratus modal berbayar atau bernilai lebih RM100,000 pada nilai semasa.

“Sekiranya beliau tidak melanggar peraturan itu, maka beliau berhak menggunakan hak peribadinya untuk mendapatkan pembelaan undang-undang,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2026/02/10/laporan-bloomberg-mengelirukan-dan-tak-berasas-sprm/

Menurut beliau, jika berlaku pelanggaran, kerajaan perlu menjelaskan tindakan susulan termasuk kemungkinan siasatan khas dan implikasi terhadap kedudukan Azam.

“Sekiranya Azam Baki telah melanggar pekeliling tersebut, kerajaan mesti menjelaskan tindakan tatatertib yang diambil serta sama ada kedudukannya masih boleh dipertahankan.

“Prinsip integriti, kebertanggungjawaban dan ketelusan mesti dipelihara, lebih-lebih lagi bagi jawatan sepenting Ketua Pesuruhjaya SPRM,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, SPRM menegaskan Azam telah mematuhi keperluan pengisytiharan harta melalui saluran rasmi kerajaan dan menafikan dakwaan ketidakpatuhan tatakelola perkhidmatan awam.

Menurut laporan Bloomberg, Azam didakwa memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Partner Bhd berdasarkan pemfailan tahunan syarikat kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia, dengan nilai pegangan dianggarkan hampir RM800,000 setakat penutupan dagangan Isnin. — MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast