KUANTAN – “Kita bukannya nak buat projek Terminal Bas Kota Bharu yang merancang lebih sedekad sampai sekarang tak siap”.
Itu kata Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pahang, Mohd Kamil Ibrahim membidas desakan Pemuda Pas Pahang mengenai status pembinaan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan (KIA) baru-baru ini.
Beliau berkata, projek berskala besar seperti KIA memerlukan ketelitian, kestabilan dan keyakinan pelabur.
Mohd Kamil berkata, Pemuda Pas Pahang masih belum memahami asas sebenar struktur pelaburan moden kerana gagal membezakan antara projek dibiayai bajet awam dan projek berasaskan pelaburan swasta.
“Kali ini istilah seperti PFI, komitmen pelabur, garis masa dan risiko kewangan disebut berulang kali. PFI (Private Finance Initiative) bermaksud pembiayaan dan risiko utama ditanggung pihak swasta.
“Kerajaan bertindak sebagai pemudah cara dan pengawal selia bukan sebagai pembiaya utama yang mengeluarkan dana negeri sesuka hati.
“Jika konsep asas ini pun masih kabur, adalah lebih baik belajar dahulu sebelum mengajar orang lain tentang pengurusan pelaburan.
“Dalam dunia pelaburan sebenar, penyusunan semula terma, rundingan semula struktur dan pelarasan garis masa adalah proses biasa. Pelaburan bukan kerja semalaman. Ia melalui fasa due diligence, rundingan teknikal, pematuhan regulatori serta jaminan jangka panjang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sebelum itu, Pemuda Pas Pahang menerusi Ketua Penerangannya, Ahmad Azlan Abu Bakar sekali lagi mendesak Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menjelaskan mengenai status sebenar pembangunan projek KIA dan status komitmen terkini pelabur bagi projek berkenaan.
Ahmad Azlan menuntut kerajaan negeri menyatakan secara jelas siapa pelabur atau konsortium sebenar terlibat dan kesan kepada kos keseluruhan serta keyakinan pelabur masa depan sekiranya komitmen pelabur bagi projek itu berubah atau ia tertangguh.
Menurut Mohd Kamil, jika setiap proses teknikal dianggap krisis, itu menandakan Pemuda Pas Pahang tidak pernah duduk semeja dengan pelabur sebenar.
Lebih membimbangkan, katanya, Pemuda Pas Pahang gemar menimbulkan persepsi kononnya wujud risiko kewangan kepada negeri memandangkan projek tersebut masih belum dimulakan.
Mohd Kamil dalam pada itu mengingatkan perancangan teliti diperlukan bagi projek mega seperti KIA agar kejadian pelabur menarik diri seperti Projek Langkasuka, Langkawi tidak berlaku.
“Kita nak pastikan usaha sama projek ini berjalan dengan lancar. Kita tidak mahu sampai apa yang kita rancang sampai pelabur angkat kaki seperti mana yang terjadi pada projek Langkasuka, Langkawi pelabur tarik diri dari projek RM40 billion sebab kelemahan Kerajaan Negeri mereka sendiri,” jelasnya.
Selain itu, katanya projek KIA tidak merugikan rakyat kerana projek itu dibangunkan oleh pelabur sementara kerajaan negeri hanya menjadi pemudah cara. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Wan Rosdy didesak perjelas status terkini Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan
















